Malaysia pernah kalah dengan Papua? Itu cerita lama

Malaysia pernah kalah dengan Papua? Itu cerita lama

PEMAIN Malaysia mahu memburu kemenangan kedua apabila berdepan Papua New Guinea malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tidak tahu Malaysia pernah kalah kepada Papua New Guinea, Kim Pan Gon menegaskan, dia tidak peduli tentang rekod lampau dan bersedia melakar kemenangan apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi persahabatan Tier 1 malam ini.

Pada 16 Jun 2016, Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee tewas 2-0 dalam perlawanan persahabatan di tempat lawan.

Begitupun selain kekalahan itu, Malaysia menang dalam tiga lagi perlawanan mereka, termasuk pertemuan terakhir pada 14 November 2016 (2-1).

Sejak itu juga, Harimau Malaya sudah menunjukkan banyak peningkatan, terutama dalam ranking dunia dengan menghuni tangga ke-138 berbanding Papua New Guinea (159).

Begitupun Pan Gon percaya, Papua New Guinea juga berada pada tahap yang baik selepas mengikat Singapura 2-2 dalam perlawanan persahabatan minggu lalu.

“Saya tidak tahu tentang perkara itu (Malaysia pernah kalah kepada Papua New Guinea). Bagus juga mengetahuinya.

“Kita menyaksikan perlawanan mereka menentang Singapura dan mereka bermain lebih baik daripada yang disangkakan.

“Jadi, saya tidak ambil pusing tentang sejarah pertemuan lampau, kita mencari kemenangan berturut-turut di laman sendiri, mencipta budaya menang dan membina kubu di laman sendiri. Itu sasaran utama kita,” katanya.

FAISAL Halim (tengah) dikepung pemain Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Selepas menumpaskan Kepulauan Solomon 4-1 minggu lalu, Pan Gon sedia melakukan beberapa perubahan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Pan Gon menganggap perlawanan itu sebagai eksperimen, dan perubahan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya adalah bagi melihat tahap prestasi pemain yang tidak turun dalam perlawanan sebelum ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu juga mahu melihat persaingan pemain terus meningkat dalam usahanya membentuk skuad terbaik menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.

STUART Wilkin pada perlawanan menentang Kepulauan Solomon.

“Saya mahu mereka (pemain) terus bersaing antara satu sama lain. Saya mahu mereka rasa tiada kesebelasan utama yang tetap, sesiapa sahaja boleh berada dalam skuad utama. Persekitaran begini yang saya suka.

“Sekarang kita ada dua pemain untuk satu posisi, lebih baik kalau boleh meletakkan tiga . Jadi semua orang perlu bersaing antara satu sama lain untuk tempat dalam kesebelasan utama.

“Apabila kita beri mereka peluang untuk bermain, mereka perlu tunjukkan kepada kita bahawa mereka lebih baik daripada pemain lain dalam posisi itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN