Laluan getir menanti Ainaa-Addeen di suku akhir

Laluan getir menanti Ainaa-Addeen di suku akhir

AINAA Amani (kiri belakang) dan Addeen (kanan) sewaktu beraksi menentang beregu Thailand, Supakorn Ngamprasert-Nopcahnok Buranakul dalam perlawanan terakhir Kumpulan F pada Kejuaraan Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Noor Ainaa Amani Ampandi-Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menjadi pasangan terakhir Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir pada Kejuaraan Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China, semalam.

Pilihan keenam itu menewaskan Li Dongjin-Zhou Zhitao 11-7, 11-3 pada pusingan kedua untuk mengiringi dua lagi lagi beregu negara, Aifa Azman-Mohammad Syafiq Kamal dan Rachel Arnold-Ivan Yuen yang telahpun mara lebih awal ke peringkat lapan terbaik.

Ainaa-Addeen terpaksa bermain dua perlawanan tambahan berbanding Aifa-Syafiq serta Rachel-Ivan yang diberi bye selaku pilihan pertama dan kedua.

Sebelum bertemu beregu China, Ainaa-Addeen terlebih dahulu perlu menyingkirkan pasangan Thailand, Supakorn Ngamprasert-Nopcahnok Buranakul menerusi kemenangan straight set 11-3, 11-6 dalam aksi terakhir Kumpulan F yang dilangsungkan pada sebelah pagi.

Pada suku akhir petang ini, ujian sebenar menanti Ainaa-Addeen yang akan bertemu pilihan ketiga, Dipika Pallikal- Harinder Pal Singh dari India.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam berkata, Ainaa-Addeen mempamerkan prestasi yang sangat baik menentang beregu China untuk layak ke suku akhir.

“Kemaraan Ainaa-Addeen, bermakna tiga beregu negara mara ke suku akhir yang mana ia satu petanda baik buat Malaysia,” katanya ketika dihubungi dari Hangzhou, malam tadi.

Untuk suku akhir, menurut Maniam, pilihan pertama, Aifa-Syafiq akan bertemu Tong Tsz Wing-Tang Ming Hong dari Hong Kong.

“Saya percaya Aifa dan Syafiq mampu melepasi halangan beregu Hong Kong ini untuk menempah slot ke separuh akhir.

“Untuk satu lagi beregu iaitu Rachel-Ivan yang diletakkan sebagai pilihan kedua, mereka akan berdepan Cheng Nga Ching-Matthew Lai iaitu pasangan Hong Kong yang tewas kepada Ainaa-Addeen dalam saingan peringkat kumpulan,” ujarnya.

Bagaimanapun, jelas beliau, perlawanan tumpuan sebenarnya melibatkan pertemuan antara Ainaa-Addeen menentang Dipika-Harinder.

“Aksi ini dijangka berlangsung menarik, tetapi saya yakin Ainaa-Addeen mampu melepasi halangan pasangan India ini,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya