PETALING JAYA: Biarpun sering menjadi sasaran kecaman peminat bola sepak di luar padang, Faisal Halim menegaskan, situasi itu tidak pernah mengganggu tumpuannya setiap kali beraksi untuk kelab mahu pun skuad kebangsaan.
Kata pemain sayap lincah itu, sebagai pemain profesional, fokusnya harus kepada pasukan dan itulah yang akan dilakukan apabila membantu Harimau Malaya berdepan dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon, Rabu ini dan Papua New Guinea minggu depan.
“Sebagai pemain, itu perkara biasa. Kontroversi apa sekali pun, saya tetap dengan pendirian saya, kerja saya, saya menjalankan tanggungjawab saya.
“Awak kacaulah saya macam mana pun, saya tidak pernah nak memberontak atau down. Saya tahu saya mampu menggalas tanggungjawab, tapi janganlah hari-hari (kecam) tukarlah pemain lain pula,” katanya ketika latihan di Kuala Terengganu semalam.
Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey juga mengakui, kembali beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam kedua-dua aksi persahabatan itu mengubat rindunya kepada penyokong Terengganu.
Dia berharap peminat Terengganu melihat kehadirannya sebagai pemain kebangsaan dan memberi sokongan kepada Harimau Malaya.
Faisal, 25, yang menyarung jersi Terengganu dari 2021 hingga 2022 turut menegaskan, dia tidak bimbang dengan saiz fizikalnya yang kecil untuk berdepan Solomon dan Papua.
Kata bintang Selangor FC itu, fizikal tidak menentukan kemenangan, sebaliknya ia lebih kepada taktikal jurulatih serta kemahiran pemain.
“Sebelum ini ketika kita menentang pasukan yang mempunyai fizikal lebih besar, kita berjaya beraksi baik malah mampu merakam kemenangan.
“Namun saya tidak nafikan saiz fizikal penting, namun saya bersama rakan sepasukan tekad memperagakan aksi terbaik dan bertenaga,” katanya yang memiliki ketinggian 1.58 meter.