PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan percaya, Liga Malaysia (Liga M) akan lebih ‘menghiburkan’ jika Selangor FC berjaya mengejutkan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada separuh akhir Piala FA, Isnin ini.
Katanya, peminat bola sepak tempatan mahu melihat ada pasukan dalam negara mampu memberi cabaran sebenar Harimau Selatan.
Di atas kertas, JDT yang tidak kalah semua 14 perlawanan Liga Super musim ini menjadi pilihan bukan sahaja ke final, malah mempertahankan kejuaraan Piala FA.
Mereka bukan sahaja akan beraksi di tempat sendiri, malah memegang kelebihan psikologi dengan membelasah Selangor 4-0 dalam pertemuan terakhir liga di Petaling Jaya, Mac lalu.
Begitupun Razman, yang pernah menyarung jersi Selangor dua kali (2005-2012, 2016-2018) percaya, bekas pasukannya mampu melakar kejutan jika berjaya menghalang JDT memperoleh gol awal, terutama dalam 10-15 minit pertama.
“Betul, ramai yang jangkakan JDT boleh mara ke final. Mereka ada kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri dan kebal di SSI (Stadium Sultan Ibrahim).
“Begitupun saya percaya ramai peminat bola sepak mahu melihat pasukan mana yang boleh gagalkan JDT untuk bolot semua piala musim ini.
“Kita kalau boleh mahu melihat ada pasukan mampu mencalarkan ego JDT, namun kita juga perlu terima hakikat bahawa mereka ada segala kelebihan.
“Begitupun saya sebagai bekas pemain Selangor, mahu melihat anak-anak buah Tan Cheng Hoe mara ke final,” katanya kepada Utusan Malaysia.