Jangan 'lenyap' selepas jadi juara - Guardiola - Utusan Malaysia

Jangan ‘lenyap’ selepas jadi juara – Guardiola

PEP Guardiola bergambar bersama trofi Liga Juara-Juara selepas membawa Manchester Ciry mengalahkan Inter Milan dalam perlawanan akhir di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Selepas berjaya membawa Manchester City menyertai kelompok elit Eropah, Pep Guardiola menegaskan, dia tidak mahu pasukannya ‘hilang’ hanya selepas satu kejuaraan.

Pengendali dari Sepanyol itu menegaskan, City harus membina dinasti dalam bola sepak Eropah dan memastikan mereka terus kekal untuk tempoh lebih lama.

Semalam, skuad The Citizens melengkapkan kejuaraan treble bersejarah dengan merangkul gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas menundukkan Inter Milan 1-0 di Stadium Olimpik Ataturk.

Rembatan cantik Rodri pada minit ke-68 memadai untuk menghadiahkan trofi ketiga City dalam satu musim.

“Saya tidak mahu kami ‘hilang’ selepas satu trofi Liga Juara-Juara. Kami perlu bekerja keras musim depan dan kekal di sana (pentas elit Eropah).

“Ada pasukan yang memenangi satu gelaran Eropah kemudian hilang. Kami perlu elakkan perkara itu,” katanya.

PEMAIN-pemain Manchester City meraikan kejayaan menumpaskan Inter Milan untuk merangkul trofi Liga Juara-Juara di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul semalam. – AFP

City menjadi kelab Inggeris kedua selepas Manchester ­United pada 1999 memenangi treble Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala FA pada musim yang sama.

Mereka telah mendominasi saingan domestik di bawah Guardiola, memenangi lima trofi Liga Perdana Inggeris dalam tempoh enam tahun serta dua Piala FA dan empat Piala Liga, tetapi ­sering gagal di pentas Eropah.

“Anda perlu menang di Eropah untuk dianggap pasukan yang hebat dan kami berjaya melakukannya,” kata Guardiola yang tiba di Manchester pada 2016.

Pengendali dari Sepanyol itu berkata, dia tidak sabar ­menunggu hari Isnin (hari ini) kerana pasukannya akan diraikan di Manchester dengan mengelilingi bandar menaiki bas terbuka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN