PARIS: Penjaga gol Inter Miami, Nick Marsman percaya, kelab milik David Beckham itu ‘tidak bersedia’ menerima kedatangan Lionel Messi.
Kelmarin, Messi mengesahkan akan berpindah ke Florida dan bukan kembali k e Barcelona atau berhijrah ke Arab Saudi.
Pemain itu bakal menerima pakej lumayan, merangkumi tajaan beberapa jenama seperti Apple menerusi Pas Bermusim Liga Bola Sepak Utama (MLS) serta Adidas.
Menandatangani Messi bakal menjadi langkah paling monumental dalam sejarah bola sepak Amerika Utara, malah mungkin mengatasi perpindahan ikon Brazil, Pele ke New York Cosmos pada 1975.
Marsman berkata, mendapatkan pemain berkaliber seperti Messi tanggungjawab berat untuk MLS.
“Secara peribadi saya berpendapat, Miami belum bersedia untuk kedatangan Messi. Kami memiliki stadium sementara, orang awam boleh berjalan di atas padang, tiada pintu pagar.
“Kami juga bertolak ke stadium tanpa kawalan keselamatan. Saya rasa mereka belum bersedia tetapi saya harap dia akan datang,” katanya.
Sementara itu, Messi yang menghabiskan dua musim di Paris Saint-Germain (PSG) menolak untuk kembali ke pangkuan kelab lamanya, Barcelona kerana bosan dengan ketidakpastian yang menyelubungi masa depannya.
Bapanya, Jorge, dilaporkan bertemu Presiden Barcelona, Joan Laporte awal minggu ini tetapi pemenang Piala Dunia itu enggan kembali ke Sepanyol.
“Saya benar-benar mahu (kembali ke Barcelona) saya amat teruja untuk kembali.
“Begitupun selepas apa yang saya lalui, melihat jalan keluar yang ada, saya tidak mahu berada dalam situasi sama lagi: menunggu untuk melihat apa akan berlaku dan meninggalkan masa depan saya di tangan orang lain,” katanya. – AGENSI