Djokovic terhebat sepanjang zaman - Utusan Malaysia

Djokovic terhebat sepanjang zaman

NOVAK Djokovic bergambar bersama trofi Musketeers berlatar belakangkan, Menara Eiffel, Paris semalam selepas muncul juara Terbuka Perancis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Novak Djokovic berkata, keinginan dan motivasi untuk terus bermain tenis tidak pernah pudar sekali pun menjadi pemain tertua menjuarai Terbuka Perancis semalam, sekali gus memahat rekod memenangi 23 gelaran Grand Slam.

Bintang Serbia berusia 36 tahun itu percaya, dia masih mempunyai tenaga untuk memburu kejuaraan utama biarpun sudah 20 tahun bersaing dalam tenis dunia.

“(Perjalanan) belum ber­akhir. Jika saya menang Grand Slam, kenapa perlu fikir untuk menamatkan kerjaya yang ­sudah dibina selama 20 tahun.

“Jadi saya masih berasa bermotivasi, masih terinspirasi untuk bermain tenis terbaik pada kejohanan Grand Slam.

“Saya rasa itu perkara paling penting dalam sejarah sukan kita,” kata pemain No. 3 dunia itu.

Kejuaraan ketiga yang diraih di Roland Garros menobatkan Djokovic sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, namun dia tidak mahu dilabelkan ­seperti itu.

NOVAK Djokovic meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ketiga bersama keluarga dan pasukannya di Paris semalam.

Semalam, Djokovic me­numpaskan bintang Norway yang 12 tahun lebih muda daripadanya, Casper Ruud 7-6 (7/1), 6-3, 7-5 dalam perlawanan akhir untuk mengatasi rekod 22 gela­ran Grand Slam yang selama ini dikongsi bersama jaguh Sepa­nyol, Rafael Nadal.

Itu kejuaraan ketiganya di Roland Garros, selain 10 gelaran Terbuka Australia, tujuh Wimbledon dan tiga Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Dia turut menjadi satu-satunya pemain lelaki yang memenangi semua empat Grand Slam sebanyak tiga kali, malah Djo­kovic juga bakal merampas kembali takhta takhta pemain No. 1 dunia.

“Saya tidak mahu katakan saya adalah yang terhebat ­kerana saya rasa ia tidak menghormati ramai lagi bekas-bekas juara hebat yang pernah bertanding dalam era yang berbeza.

“Jadi saya tinggalkan perkara mengenai siapa yang terhebat ini kepada orang lain.

“Sudah tentu saya yakin dan percaya pada diri sendiri untuk apa sahaja yang boleh saya lakukan,” jelasnya

Ketika ditanya sama ada dia mampu memenangi gela­ran Grand Slam ke-24 atau ke-25, Djokovic membalas ‘kenapa tidak?’

Djokovic memenangi 11 daripada 23 gelaran Grand Slam selepas berusia 30 tahun, malah dia tidak berhasrat menggantung raket buat masa ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya