PARIS: Novak Djokovic berkata, keinginan dan motivasi untuk terus bermain tenis tidak pernah pudar sekali pun menjadi pemain tertua menjuarai Terbuka Perancis semalam, sekali gus memahat rekod memenangi 23 gelaran Grand Slam.
Bintang Serbia berusia 36 tahun itu percaya, dia masih mempunyai tenaga untuk memburu kejuaraan utama biarpun sudah 20 tahun bersaing dalam tenis dunia.
“(Perjalanan) belum berakhir. Jika saya menang Grand Slam, kenapa perlu fikir untuk menamatkan kerjaya yang sudah dibina selama 20 tahun.
“Jadi saya masih berasa bermotivasi, masih terinspirasi untuk bermain tenis terbaik pada kejohanan Grand Slam.
“Saya rasa itu perkara paling penting dalam sejarah sukan kita,” kata pemain No. 3 dunia itu.
Kejuaraan ketiga yang diraih di Roland Garros menobatkan Djokovic sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, namun dia tidak mahu dilabelkan seperti itu.

Semalam, Djokovic menumpaskan bintang Norway yang 12 tahun lebih muda daripadanya, Casper Ruud 7-6 (7/1), 6-3, 7-5 dalam perlawanan akhir untuk mengatasi rekod 22 gelaran Grand Slam yang selama ini dikongsi bersama jaguh Sepanyol, Rafael Nadal.
Itu kejuaraan ketiganya di Roland Garros, selain 10 gelaran Terbuka Australia, tujuh Wimbledon dan tiga Terbuka Amerika Syarikat (AS).
Dia turut menjadi satu-satunya pemain lelaki yang memenangi semua empat Grand Slam sebanyak tiga kali, malah Djokovic juga bakal merampas kembali takhta takhta pemain No. 1 dunia.
“Saya tidak mahu katakan saya adalah yang terhebat kerana saya rasa ia tidak menghormati ramai lagi bekas-bekas juara hebat yang pernah bertanding dalam era yang berbeza.
“Jadi saya tinggalkan perkara mengenai siapa yang terhebat ini kepada orang lain.
“Sudah tentu saya yakin dan percaya pada diri sendiri untuk apa sahaja yang boleh saya lakukan,” jelasnya
Ketika ditanya sama ada dia mampu memenangi gelaran Grand Slam ke-24 atau ke-25, Djokovic membalas ‘kenapa tidak?’
Djokovic memenangi 11 daripada 23 gelaran Grand Slam selepas berusia 30 tahun, malah dia tidak berhasrat menggantung raket buat masa ini. – AGENSI