ISTANBUL: Manchester City akhirnya memenangi Liga Juara-Juara, namun mereka tidak akan menerima penghormatan memakai lencana elit badan bola sepak Eropah, UEFA pada jersi pemain musim hadapan.
City melengkapkan gelaran treble dengan menewaskan Inter Milan 1-0 di Istanbul semalam hasil jaringan Rodri.
Pep Guardiola akhirnya memenuhi impian pemilik kelab, Sheikh Mansour sejak mengambil alih City pada 2008.
Begitupun lencana UEFA tidak diberikan kepada pasukan yang hanya merangkul gelaran Eropah sekali.
Peraturan diperkenalkan pada 2000/2001, di mana untuk memakai lencana elit kelab perlu memenangi trofi Eropah lima kali atau tiga kali berturut-turut.

Ketika ini hanya Real Madrid, AC Milan, Liverpool, Bayern Munich, Barcelona dan Ajax layak memakainya.
Kelab Sepanyol, Sevilla pula dibenarkan memakai lencana kehormat UEFA untuk kejayaan di pentas Liga Europa.
Begitupun, perkara tersebut tidak mengganggu City ketika ini dan wira mereka, Rodri hanya mahu meraikan detik bersejarah itu.
“Saya amat beremosi. Ini adalah impian yang menjadi kenyataan.
“Mereka semua (peminat) sudah menunggu begitu lama. Saya tidak tahu berapa tahun, 20, 30, 40. Saya berada di sini hanya empat tahun tetapi kami layak mendapatnya,” katanya. – AGENSI