ISTANBUL: Turun tanpa ramai bintang, Inter Milan dianggap ‘underdog’ apabila berdepan Manchester City dalam final Liga Juara-Juara esok biarpun pernah bergelar juara Eropah tiga kali berbanding skuad bimbingan Pep Guardiola.
Jika City mempertaruhkan penyerang paling sensasi di dunia ketika ini, Erling Haaland dalam kesebelasan utama, Inter yang pernah bergelar juara pada 2010, 1965 dan 1964 diketuai pemain berusia 37 tahun, Edin Dzeko.
Dzeko yang pernah menyarung jersi City dari 2011 hingga 2016 meledak 14 gol musim ini, dan membentuk gandingan baik bersama bintang Argentina, Lautaro Martinez.
Skuad bimbingan Simone Inzaghi mungkin tidak mempunyai ramai bintang tetapi mereka dibarisi pertahanan berpengalaman, sayap berbahaya serta bahagian tengah yang bekerja keras seperti Nicolo Barella.
“Kami bercakap mengenai perlawanan bola sepak, tidak ada ketakutan. Benar tiada apa yang perlu kami takuti berdepan Manchester City,” kata Inzaghi, yang dilantik pada 2021 selepas Nerazzurri memenangi Serie A di bawah Antonio Conte.
Pemain pertahanan, Alessandro Bastoni menambah: “Anda takut kepada pembunuh, bukan pemain bola sepak. Adalah satu kesilapan untuk bercakap mengenai ketakutan.”
Inter beraksi dalam final Eropah pertama sejak meraih trofi terakhir di bawah Jose Mourinho pada 2010. – AGENSI