JOHOR BAHRU: Seorang wanita sanggup bersekongkol dengan teman lelakinya cuba membunuh suaminya demi mengaut wang tuntutan insurans pasangannya.
Tindakan tersebut mengundang padah setelah kedua-dua mereka yang berusia 38 dan 45 tahun dicekup polis sehari selepas kejadian yang berlaku pada 22 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, cubaan membunuh itu disyaki ada kaitan dengan wang tuntutan insurans berlaku di Taman Ehsan Jaya, di sini.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang lelaki dipercayai teman lelaki isteri mangsa cuba membunuh lelaki tempatan berusia 47 tahun dengan menekup mukanya menggunakan bantal sehingga mangsa sukar bernafas.
“Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa telah membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah semasa mangsa sedang tidur dan memegang kaki mangsa supaya teman lelakinya dapat menekup muka mangsa ketika sedang tidur.
“Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri, manakala teman lelaki isterinya bertindak melarikan diri pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Sohaimi berkata, siasatan dijalankan juga mendapati isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insurans yang dicarumkan oleh mangsa, kira-kira seminggu sebelum kejadian.
Katanya, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Arahan untuk menuduh isteri mangsa dan teman lelakinya telah diperoleh dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










