Tiga rakan pertama kali cuba ganja di Hat Yai ditahan AADK - Utusan Malaysia

Tiga rakan pertama kali cuba ganja di Hat Yai ditahan AADK

KHAIRUL Anwar Ahmad memberi nasihat kepada tiga pemuda yang ditahan setelah didapati positif dadah jenis ganja selepas berhibur sempena Tahun Baharu di Thailand. - UTUSAN/ JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Hasrat tiga rakan yang sanggup menunggang motosikal dari Johor ke Koh Samui, Thailand untuk menyambut tahun baharu hanya berakhir di lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah selepad mereka ditahan kerana positif dadah dipercayai ganja.

Lelaki yang masing-masing berusia 23 tahun itu ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini kira-kira pukul 3 petang semalam.

Salah seorang daripada mereka memberitahu, malang bertimpa apabila turut menerima panggilan telefon mengatakan bapa kandungnya meninggal dunia sebelum ditahan dalam operasi itu.

“Memang saya menyesal atas perbuatan kami ini. Ayah saya meninggal dunia dan kemudian kena tahan pula sebab ambil ganja,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Kedah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, di sini malam tadi.

Pemuda itu mendakwa, mereka bertiga mengambil bahan terlarang itu di Hat Yai setelah ditawarkan oleh seorang penjual tempatan di kaki lima dengan harga sekitar RM8 sebatang.

“Ia dalam bentuk rokok, lelaki itu mendesak minta kami cuba. Katanya, di Thailand tidak salah bila lagi nak cuba? Entah kenapa macam dipukau terus terima. Satu batang sahaja kami kongsi bertiga.

“Itu kali pertama kami ambil benda terlarang ini sekadar hendak cuba-cuba tidak sangka kesannya melarat sampai macam ini,” katanya yang juga kali pertama berkunjung ke Thailand.

Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, 13 lelaki ditahan dalam operasi sempena tahun baharu itu dan mereka disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan Terlarang (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Kami memandang seriusnya isu salah guna dadah di sempadan ini, di mana ia bermula dengan suka-suka yang dikhuatiri membawa kepada penagihan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau operasi bermula pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN