LONDON: Erik ten Hag memberitahu pengurusan tertinggi Manchester United, dia mahukan pemain No. 9 (penyerang tengah).
Pengendali dari Belanda itu terdesak untuk membawa masuk kapten England, Harry Kane biarpun Tottenham meletakkan tanda harga 100 juta pound (RM561 juta).
Red Devils mampu mendapatkan dana besar jika diambil alih oleh hartawan Qatar, Sheikh Jassim yang berusaha membeli kelab dengan bidaan 5.5 bilion pound (RM30.85 bilion).
Menurut akhbar The Sun, bintang-bintang United mahu Keluarga Glazer menjual kelab tersebut bagi menguatkan skuad dengan pemain bertaraf dunia.
"Harry Kane see you in June" chants Manchester United fans 🎶#TOTMUN pic.twitter.com/5RXejuDNVA
— Mufc🇶🇦⚡️ (@UTDKenny_) April 27, 2023
Penyokong United menyanyikan lagu ‘Harry Kane…kami akan jumpa anda pada Jun’ ketika pasukan itu seri 2-2 dengan Tottenham, Jumaat lalu.
Pada sidang akhbar selepas perlawanan, Kane mengakui, dia dapat mendengar dengan jelas nyanyian itu.
“Saya dengar apa mereka kata tetapi saya hanya fokus kepada pasukan dan cuba membantu kelab menamatkan musim sebaik yang boleh,” katanya.
Dalam sidang akhbar yang sama, Ten Hag berkata, ia bukan lagi rahsia United memerlukan pemain No. 9 kerana posisi itu adalah masalah utama mereka sepanjang musim ini.
“Kami telah kehilangan (Cristiano) Ronaldo, kemudian Anthony Martial kerap tidak dapat diturunkan, begitu juga Jadon Sancho.
“Kami ada beberapa pemain yang boleh memainkan peranan itu tapi kami memerlukan penyerang tulen,” kata Ten Hag.

United mahu menggandingkan Kane dengan Marcus Rashford musim depan dan sedia membayar 600,000 (RM3.36 juta) seminggu untuk kombinasi tersebut.
Red Devils sedia menaikkan gaji kedua-dua bintang England itu dari 200,000 pound (RM1.12 juta) ketika ini kepada 300,000 pound (RM1.68 juta) seminggu.
Sekiranya Sheikh Jassim berjaya membeli United, dia juga mahu membawa masuk penyerang Brazil, Neymar yang kini menikmati 490,000 pound (RM2.95 juta) seminggu di PSG.
Bagaimanapun semalam, terdapat laporan mengatakan Sir Jim Ratcliffe bersedia menyaingi Sheikh Jassim dengan membeli 69 peratus saham kelab.

Sepanjang musim ini, Rashford, 25, bertindak cemerlang menjadi penyerang utama United dengan meledak 29 gol.
Begitupun Ten Hag lebih gemar jika bintang Three Lions itu bertindak sebagai pemain sayap yang memotong dari kiri dan mahukan titik fokus baharu untuk serangannya.
Selain Kane, Victor Osimhen dari Napoli, Jonathan David (Lille), Rasmus Hojland (Atalanta), bekas penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan bintang Juventus, Dusan Vlahovic turut berada dalam radar Red Devils.
Osimhen, 24, kelihatan seperti penyerang tengah peringkat teratas yang diperlukan United ketika beraksi dalam saingan Serie A mahu pun Liga Juara-Juara.
Begitupun seperti Kane, bintang Nigeria itu juga mempunyai tanda harga yang tinggi, 100 juta pound.
Dia juga tidak mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Perdana Inggeris, sekali gus menjadikan Kane sasaran terbaik buat United. – AGENSI