Presiden FFC letak jawatan jika Kemboja gagal ke separuh akhir

Presiden FFC ikrar letak jawatan jika Kemboja gagal layak ke separuh akhir

Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Sao Sokha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Sao Sokha mengumumkan bahawa dia bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai presiden badan induk sekiranya skuad bawah 22(B-22) tahun gagal untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Pengumuman itu dibuat menerusi laman media sosial miliknya selepas skuad Kemboja terlepas peluang untuk melakar sejarah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam peringkat kumpulan Sukan SEA apabila diikat saat akhir oleh Filipina dengan keputusan 1-1.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Olimpik, Phnom Penh semalam, Kemboja terlebih dahulu mendahului perlawanan menerusi jaringan Ky Rina pada minit ke 26, namun tatkala mereka menyangka mampu untuk membawa pulang tiga mata, harapan itu direntap oleh pemain Filipina, Dov Carino yang menjaringkan gol pada masa tambahan.

“Jika pasukan Kemboja B-22 tahun negara tidak layak ke peringkat separuh akhir acara bola sepak, dengan penuh segala tanggungjawab, saya ingin memaklumkan, saya bersedia untuk mengundur diri daripada pengerusi FFC dengan serta merta.

“Selepas Kemboja mengambil keputusan untuk tampil ke depan buat pertama kalinya, menjadi penganjur Sukan SEA, kami telah berusaha dengan keras sejak 10 tahun lalu untuk meningkatkan pasukan Kemboja, pasukan muda seperti skuad B-22 tahun, dengan harapan untuk mencipta asas bagi masa depan.

“Justeru, jika skuad B-22 Kemboja gagal di Sukan SEA di laman sendiri, saya perlu bertanggungjawab. Saya sedia untuk meletak jawatan dan akan menyuruh Jawatankuasa Eksekutif dan Setiausaha Agung FFC untuk melaksanakan pemilihan presiden baru,” jelas Sokha.

Ketika ini Kemboja menerajui carta Kumpulan A dengan empat mata, namun cabaran menjadi semakin sukar buat mereka selepas ini apabila perlu berdepan Myanmar dan Indonesia bagi mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN