Pemain naturalisasi gugat peluang bola keranjang Malaysia

Pemain naturalisasi gugat peluang bola keranjang Malaysia

PASUKAN bola keranjang Malaysia berlepas ke Phnom Penh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Keputusan beberapa negara menurunkan pemain naturalisasi dalam Sukan SEA di Kemboja meresahkan skuad bola keranjang Malaysia yang masih menggunakan khidmat anak tempatan 100 peratus.

Pengurus pasukan wanita negara, Ch’ng Eng Hing mengakui, melihat perkembangan semasa, Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan selepas ini kecuali mengikut jejak negara Asia Tenggara lain menggunakan khidmat pemain ‘import’ jika mahu memburu pingat emas dalam temasya akan datang.

“Kebanyakan negara seperti Filipina, Indonesia bahkan Kemboja saya mempunyai pemain naturalisasi, jadi ia memberikan cabaran kepada kita untuk menyaingi mereka.

“Kali ini kita tidak mempunyai pemain naturalisasi, namun kemungkinan pada Sukan SEA 2025 di Thailand, kita (akan) ada. Harap-harap kita dapat pemain naturalisasi dan kita perlu mempunyai perancangan untuk tahun akan datang berhubung perkara ini,” katanya ketika pasukan bola keranjang berlepas ke Phnom Penh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Sepang hari ini.

Bagaimanapun Ch’ng berkata, ketiadaan pemain naturalisasi bulan alasan untuk Malaysia tidak menampilkan persembahan terbaik pada temasya di Kemboja.

“Pada Sukan SEA di Hanoi kita meraih gangsa dalam saingan wanita, jadi kali ini kita harap dapat ke saingan separuh akhir dan meraih pingat,” katanya.

Skuad bola keranjang wanita bakal membuka tirai dalam acara 3×3 peringkat Kumpulan B, bertemu tuan rumah Kemboja, Indonesia dan Singapura, Sabtu ini.

Bagi acara berpasukan, mereka diundi dalam Kumpulan A dan bakal berdepan Kemboja pada 9 Mei diikuti Singapura (10 Mei), Indonesia (11 Mei), Vietnam (12 Mei), Thailand (13 Mei) dan Filipina (15 Mei).

Sementara itu, pasukan lelaki kebangsaan bagi acara 3×3 diundi dalam Kumpulan B menentang Singapura, Thailand serta Kemboja, Sabtu ini.

Dalam acara berpasukan, skuad lelaki negara yang diundi dalam Kumpulan A akan berentap dengan Filipina pada 9 Mei, diikuti Singapura (11 Mei) dan Kemboja (13 Mei). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.