Olahraga tidak janjikan 10 pingat emas di Kemboja

Olahraga tidak janjikan 10 pingat emas di Kemboja

MUHAMMAD Irfan Shamsuddin yang memenangi pingat emas dalam lima temasya terakhir menjadi sandaran sekali lagi untuk mempertahankan kejuaraan lempar cakera lelaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sehari sebelum Sukan SEA 2023 membuka tirai secara rasmi esok, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menegaskan, mereka tidak menjanjikan 10 pingat emas untuk dibawa pulang dari Kemboja.

Badan olahraga itu juga menegaskan, tidak pernah me­netapkan sasaran 10 emas, dan apa yang diumumkan Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim, Jun lalu telah disalah tafsir.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Ling menjelaskan, mereka perlu realistik dalam menetapkan sasaran di Phnom Penh, apatah lagi sebahagian besar daripada 64 atletnya berumur bawah 23 tahun, dan membuat penampilan sulung.

MARK LING

“Kami telah menjalankan proses kelayakan serta analisis dan kami dapati, kami mampu raih beberapa pingat.

“Bila difikirkan semula, saya rasa hanya kita (Malaysia) satu-satunya negara yang beritahu sasaran, sedangkan negara jiran lain tidak. Saya fikir bagus jika kali ini kita jadikan perkara ini rahsia bagi melindungi data KOM.

“Mengenai 10 ­pi­ngat (emas), konteksnya sangat pen­ting kerana pada waktu itu Datuk Seri Shahidan baru dilantik sebagai presiden.

“Bila diasak media (mengenai sasaran), beliau juga bertanya kami, ‘adakah jumlah itu (10) mampu dicapai?’.

“Namun dengan segala kemungkinan yang kita ada sejak setahun selepas soalan itu di­tanya, kita hanya mahu atlet dapatkan pendedahan dan ini adalah tahun pertama pertan­dingan untuk mereka,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

NOR Sarah Adi mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara lompat bergalah pada Sukan SEA di Kemboja.

Olahraga meraih lima emas, tiga perak dan lapan gangsa di Hanoi, tahun lalu.

Muhammad Irfan Shamsuddin sekali lagi menjadi pilihan untuk mempertahankan pingat emas lempar cakera lelaki buat kali keenam berturut-turut sejak memenanginya di Naypyidaw pada 2013.

Andre Anura Anuar (lompat kijang), Jackie Wong (baling tukul besi), Nor Sarah Adi (lompat bergalah) dan Grace Wong (baling tukul besi wanita) menggalas harapan untuk mempertahankan emas yang dimenangi di Hanoi.

Tumpuan Malaysia juga terarah kepada usaha merampas acara reben biru, 100 meter (m) lelaki yang digalas juara 2017, Khairul Hafiz Jantan dan juara 2019, Muhammad Haiqal Hanafi. Kuartet 4x100m lelaki serta wanita turut dijangka mampu menghasilkan sesuatu.

Begitupun ketiadaan pemegang rekod 200m kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib dan pemenang tiga pingat emas lompat tinggi Sukan SEA, Nauraj Singh Randhawa menyebabkan peluang untuk meraih lebih banyak emas sedikit tergugat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.