JASIN 29 Mei – Pelumba Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing, Md. Akid Aziz melakar kemenangan sulung dalam kelas CP150 di pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix Petronas Malaysia 2023 di Litar Bandar Jasin Bestari di sini hari ini.
Bermula cemerlang di barisan hadapan tangkas mendahului 24 pelumba sejak dari awal perlumbaan membolehkan pelumba berasal dari Kuala Lumpur itu mencipta kemenangan pertama musim ini dengan kepantasan 16:27.295s.
Pada dua pusingan sebelum ini Md. Akid sekadar menduduki tempat ke-16 di Litar Sepang dan muncul naib juara di Litar Jempol, Negeri Sembilan Mac lalu.
“Saya tidak jangka muncul juara kerana sebelum perlumbaan saya jangka bakal hadapi saingan sengit daripada lima pelumba lain.
“Tetapi sebaliknya terjadi bermula dari selekoh pertama, saya mendahului dan menoleh ke belakang saya lihat dapat menjarakkan diri.
“Tanpa menoleh lagi saya terus memecut dan mengelak daripada membuat kesilapan untuk terus ke garisan penamat,” ujarnya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan di sini hari ini.
Hadiah kepada pemenang telah disampaikan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Katanya, kemenangan itu menguatkan semangatnya untuk terus berada di podium pada baki tujuh pusingan lagi sekali gus mahu muncul juara keseluruhan kelas CP150 tahun ini.
Dua lagi rakannya Md. Akid dari pasukan yang sama, Ahmad Afif Amran meraih tempat kedua dengan catatan 16:29.146s manakala Kasma Daniel Kasmayudin pula di tempat ketiga mencatat 16:34.369s.
Dalam kelas CP125 pula pelumba Rexxo Racing Team, Ahmad Syukran Aizat Md. Yusoff dari Terengganu melakar catatan 13:16.448s untuk muncul juara dengan kelebihan 0.631s menewaskan Md. Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing berada di tempat kedua dengan catatan 13:17.079s.
Pelumba Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md. Khairi Asyraf Mahmood dengan catatan 13:18.386s berada di tempat ketiga.
Sementara itu bagi kelas Wira KBS, pelumba Yahama Estremo 27 Racing, Emil Idzhar Ezuan muncul juara selepas mencatat kepantasan 10.42s sekali gus meraih podium pertamanya musim ini.
Tempat kedua pula menjadi milik pelumba Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Amirun Haziq Johan apabila mencatat kepantasan 10.43s manakala rakan sepasukannya Md. Al Syakir Zufayri Md. Al Amirul Zaki berada di tempat ketiga.