LONDON: Bos Manchester United, Erik ten Hag mengesahkan pasukannya bersedia membawa masuk penyerang baharu pada musim panas ini, dengan Harry Kane mengetuai senarai.
Red Devils mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara musim ini dan berharap dapat memburu kejuaraan pada kempen seterusnya.
Satu penambahbaikan yang perlu mereka lakukan ialah menghasilkan lebih banyak gol musim depan.
Walaupun Marcus Rashford berjaya meledak 30 gol dalam semua perlawanan musim ini, namun mereka tidak mempunyai penyerang prolifik lain.
Ten Hag memuji prestasi Rashford yang merupakan graduan Akademi Manchester United, namun dia menegaskan, pasukan itu perlu membeli seorang lagi penyerang.
“Apa yang telah saya lakukan? Dia (Rashford) merupakan pemain yang bagus, sangat hebat dan penyudahnya tajam.
“Pertama sekali, saya jadikan bermain hebat itu sebagai satu budaya dalam kelab. Kemudian, saya beri dia motivasi dan membina gaya permainannya.
“Kecergasan juga aspek yang dipertingkatkan, Apabila empat aspek itu ada, Marcus Rashford membuat banyak jaringan.
“Dia boleh bermain sebagai penyerang tengah, bermain di kiri, dari kanan.
“Apabila anda melihat statistiknya, dia melakukan jaringan di mana-mana tetapi dia berasa lebih selesa sebagai penyerang tengah atau dari kiri.
“Apa yang kami perlukan selain Rashford ialah seorang penyerang tambahan dengan kebolehan melakukan jaringan.
“Pemain itu sama ada dibangunkan daripada pasukan kami sendiri atau kami perlu tandatangan pemain baharu.
“Yang pasti, kami perlu mendapatkan seorang lagi penyerang untuk menghadapi musim baharu,” kata Ten Hag.
Kane, 30, yang dijangka meninggalkan Tottenham musim panas ini dilihat gandingan paling cocok buat Rashord.
Selain meledak 30 gol Liga Perdana musim ini dia juga amat memahami gaya Rashford ketika beraksi bersama England. – AGENSI