Liverpool bakal dipotong mata?

Liverpool bakal dipotong mata?

PENGADIL, Paul Tierney melayangkan kad merah kepada Jurgen Klopp kerana meraikan gol Liverpool secara berlebihan ketika menentang Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Liverpool yang masih berjuang memburu kelompok empat terbaik Liga Perdana mungkin berdepan masalah besar jika dikenakan pemotongan mata gara-gara insiden melibatkan pengurus mereka, Jurgen Klopp dan pe­ngadil, Paul Tierney ketika menentang Tottenham, Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ref Support UK, Martin Cassidy menggesa Persatuan Bola Sepak (FA) Inggeris menghukum ­Liverpool dengan pemotongan mata ekoran kritikan Klopp ­terhadap Tierney.

Pengendali dari Jerman itu menuduh pengadil mempunyai agenda terhadap pasukannya sejurus selepas Reds kemena­ngan dramatik 4-3.

“Perlakuan sebegini tidak akan berubah kecuali FA mula mengenakan hukuman pemotongan mata.

“Denda 30,000 pound (RM167,304) terhadap Liverpool tidak memberi kesan. Potong mata mereka dan lihat mereka akan mula diam dan berkelakuan baik.

“Kami percaya ia akan menyelesaikan masalah dalam bola sepak dari akar umbi sehingga ke Liga Perdana Inggeris.

“Larangan berada di tepi padang sudah berdekad diguna pakai tetapi tidak menyelesaikan masalah, malah bertambah buruk,” kata Cassidy.

Sementara itu, Klopp juga dijangka berdepan penggantungan kedua musim ini selepas ketua pengadil bersedia berkongsi rakaman audio perbualannya dengan Tierney.

Bos Reds itu turut dilayangkan kad kuning dalam perlawanan tersebut kerana meraikan gol secara berlebihan dengan menyerang pegawai keempat, John Brooks.

Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) tampil mempertikaikan dakwaan Klopp dan mengatakan Tierney bertindak profesional sepanjang masa selepas badan induk itu mendengar kembali audio.

Mereka bersedia menghantar audio kepada FA, yang sedang menyiasat insiden itu, bersama dengan sambutan Klopp yang terlalu bersemangat dan komen selepas perlawanan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN