Liga Super: Negeri Sembilan, Kelantan United terikat di Seremban - Utusan Malaysia

Liga Super: Negeri Sembilan, Kelantan United terikat di Seremban

INDRA Putra Mahayuddin diasak oleh pertahanan, Tommy Mawat Bada dalam aksi Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kelantan United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hajat pasukan Kelantan United FC untuk mencatatkan kemenangan pertama mereka dalam aksi Liga Super terhalang apabila mereka mencatatkan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC malam tadi.

Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi di sini, Kelantan United sebagai pelawat lebih awal mendahului menerusi gol Jose Elmer Porteria pada minit ke-14 yang mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan Negeri Sembilan, Annas Rahmat.

Kelantan United terus mengejutkan tuan rumah apabila mereka memperoleh gol kedua hasil rembatan Muhammad Syazwan Zainon pada minit ke-32 yang menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di gawang Negeri Sembilan.

Tidak lama selepas itu, skuad Jang merapatkan kedudukan hasil jaringan penyerang mereka, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-35 yang menampan masuk bola hantaran lintang rakan sepasukannya Mohammad Zamri Pin Ramli.

Memasuki separuh masa kedua, Negeri Sembilan melakukan pertukaran pemain dan hasilnya pemain gantian mereka, Mohamad Hafiz Ramdan menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-70 yang membuat rembatan deras dari luar kotak penalti dan menggegarkan jaring pelawat yang dikawal Ahmad Asyraaf Omar.

MUHAMMAD Safuwan Baharudin melakukan tandukan dalam perlawanan Liga Super di antara Negeri Sembilan dan Kelantan United di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Perlawanan semakin rancak memasuki 10 minit terakhir perlawanan apabila pelawat memperoleh sepakan penalti pada minit ke-80 yang disempurnakan oleh ketua pasukan yang juga penyerang veteran, Indra Putra Mahayuddin untuk gol ketiga Kelantan United.

Ketika tiga mata begitu hampir menjadi milik pasukan pantai timur itu, pemain tengah tuan rumah, Filemin Anyie Standly muncul penyelamat apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Sehingga tamat perlawanan, keputusan kekal 3-3 sekali gus kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Selepas melalui 12 perlawanan, Negeri Sembilan kini di tangga ketujuh liga dengan 17 mata manakala Kelantan United kekal di tangga tercorot dengan hanya tiga mata hasil tiga kali keputusan seri.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya