LONDON: James Milner, Roberto Firmino, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita sah akan meninggalkan Liverpool apabila kontrak mereka tamat pada akhir musim ini.
Milner dan Firmino menyertai Reds pada Jun 2015, malah mereka tonggak yang membantu skuad bimbingan Jurgen Klopp menjuarai Liga Juara-Juara 2019.
Oxlade-Chamberlain pula tiba di Anfield pada Jun 2017 dan Keita pada musim panas berikutnya.
Keempat-empat pemain itu memainkan peranan besar ketika Liverpool merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris pertama selepas 30 tahun pada 2020.
“Pengiktirafan khas akan diberikan kepada mereka di Anfield, dengan penghormatan selanjutnya menyusul di penghujung musim,” kata Liverpool ketika mengumumkan pemergian empat pemain tersebut.
Milner, 37, dikaitkan dengan perpindahan ke Brighton dan kelab di kampung halamannya, Leeds selepas menghabiskan lapan tahun di Anfield.
Dia membuat penampilan sulung bersama Leeds ketika berusia 16 tahun pada 2002 dan pernah beraksi buat Newcastle, Aston Villa dan Manchester City.
Secara keseluruhan, Milner membuat 617 penampilan dalam liga, di belakang Gareth Barry (652) dan Ryan Giggs (632) dalam senarai pemain sepanjang zaman. – AGENSI