The Showcase Kuala Lumpur cari bakat baru bola sepak

The Showcase Kuala Lumpur cari bakat baru bola sepak

Pengarah Urusan Bola Bros Global, Badiuzaman Jamhari (dua dari kiri) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) untuk penganjuran The Showcase Kuala Lumpur yang berlangsung di ibu kota kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang untuk pemain muda bola sepak tempatan melebarkan impian mereka ke Eropah apabila program pencarian bakat baru, The Showcase Kuala Lumpur akan diadakan di ibu negara pada 2 hingga 5 Jun depan.

Ini merupakan edisi kedua penganjuran The Showcase diadakan di rantau Asia Tenggara selepas tahun lalu ia dilangsungkan di Bali, Indonesia yang menyaksikan Viqri Ardiansyah Aprilianto terpilih untuk dibawa ke Madrid.

Menurut Pengarah Urusan Bola Bros Global, Badiuzaman Jamhari yang merupakan penganjur The Showcase Kuala Lumpur, menjelaskan program pencarian bakat baru ini turut akan dikendalikan oleh jurulatih profesional bertauliah UEFA PRO dari Sepanyol, yang terlatih membuat penilaian pemain bola sepak elit.

Format sama digunakan pada edisi kali ini dengan pemain yang berjaya akan diterbangkan ke Sepanyol untuk menyertai acara utama, The Showcase Madrid yang akan diadakan di pusat latihan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) pada 24 hingga 30 Julai depan.

Sepanjang acara, pemain akan berada di bawah pemantauan jurulatih serta pencari-pencari bakat dari tujuh kelab terkemuka di La Liga. Pemain-pemain yang terpilih tidak hanya akan menghadiri percubaan rasmi di kemudahan kelab bola sepak Sepanyol, tetapi mereka juga akan mempunyai peluang untuk menandatangani kontrak profesional dengan kelab tersebut.

“The Showcase Madrid sangat berbesar hati untuk mengadakan acara persediaan di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Sasaran kami adalah untuk menilai dan mengenal pasti pemain-pemain elit, yang kemudian akan dijemput ke acara utama kami di Madrid dengan semua kos ditanggung untuk menonjolkan kemampuan mereka di hadapan barisan pencari bakat Sepanyol,” jelas Jamhari ketika Majlis Perjanjian Persefahaman (MOU) di antara Bolabros Global Events Sdn Bhd (Bolabros) dan Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM).

Program selama empat hari ini akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori A terdiri daripada pemain berusia 15 hingga 18 tahun, manakala kategori B pula adalah berusia 19 hingga 23 tahun.

Yuran penyertaan untuk menyertai program ini pula bermula pada harga RM 399 bagi penyertaan awal dan RM 499 bagi harga biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN