Skuad muda negara asah taring lagi

Skuad muda negara asah taring lagi

BARISAN pemain skuad negara Bawah 17 tahun.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 17 (B-17) tahun negara akan diuji dengan enam lagi aksi persahabatan sekali gus menjadi medan ujian terakhir mereka sebelum terbang ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-17, Jun depan.

Membawa misi ke Piala Dunia tahun ini, skuad bimbingan Osmera Omaro akan ke Jakarta dari 27 Mei hingga 3 Jun bagi mengadakan perlawanan persahabatan bersama tiga kelab di negara tersebut.

Selepas itu, skuad muda negara akan mengasah taring menentang pasukan Uzbekistan pada 6 dan 8 Jun sebelum melawan Arab Saudi (9 Jun).

PENGURUS Pasukan B-17 negara, Christopher Raj.

Pengurus pasukan B-17, Christopher Raj berkata, anak buah Osmera ketika ini sedang bercuti dan akan melaporkan diri semula ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD), esok.

Jelasnya, skuad itu akan bermain tiga perlawanan dalam saingan Piala Presiden di sini sebelum terbang ke Jakarta untuk perlawanan persahabatan.

“Kami akan berangkat ke Jakarta pada 27 Mei dan bermain tiga perlawanan persahabatan dengan kelab bawah 20 tahun di sana. Dua kelab sudah ‘comfirm’ tinggal satu lagi, ia akan dimuktamadkan dalam beberapa hari.

“Dekat mana-mana kami pergi pun kami akan main dengan pasukan B-19 dan B-20. Pada 6 dan 8 Jun kami akan menentang Uzbekistan di Kuala Lumpur dan 9 Jun kemungkinan besar akan main dengan Arab Saudi tetapi ketika ini kami tengah menunggu pengesahan dengan Arab Saudi sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, skuad negara mempamerkan keputusan positif ketika siri persahabatan di dengan enam kelab di Doha, Qatar apabila merekodkan lima kemenangan dan tewas sekali serta menghasilkan 21 gol dalam semua perlawanan itu.

Tambah Christopher memberitahu, mereka akan ke Bangkok pada 12 Jun yang mana mereka akan memulakan aksi Kumpulan A berdepan Yaman pada 15 Jun sebelum menentang Laos (18 Jun) dan Thailand (21 Jun).

Pasukan akan membawa 23 pemain ke Bangkok dengan dua daripada 25 pemain yang ada dalam skuad ketika ini terpaksa diketepikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN