Salah bantu Liverpool raih kemenangan di Aidilfitri

Salah bantu Liverpool raih kemenangan di Aidilfitri

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika menentang Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris yang berlangsung di Anfield sebentar tadi. (Foto: AFP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANFIELD: Liverpool boleh menarik nafas lega apabila berjaya menundukkan pasukan tercorot, Nottingham Forest dengan keputusan 3-2 dalam aksi penuh sengit yang berlangsung di Anfield sebentar tadi.

Biarpun mengawal keseluruhan pertama perlawanan, barisan anak buah Jurgen Klopp gagal menembusi gawang Nottingham yang dikawal ketat Keylor Navas yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat.

Penantian Liverpool untuk membuka tirai jaringan akhirnya terlerai apabila Diogo Jota berjaya menyambar peluang dalam kawasan penalti Nottingham untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke 47.

Nottingham enggan mengalah apabila mereka hanya memerlukan lima minit sahaja untuk kembali menyamakan kedudukan 1-1 setelah rembatan Neco Williams berjaya menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson.

Aksi menjadi lebih rancak selepas itu dengan Jota sekali lagi berjaya menembusi gawang pada minit ke 55 setelah menyempurnakan hantaran dilakukan Trent Alexander-Arnold menerusi sepakan percuma.

Anak buah Steve Cooper belum bersedia mengibarkan bendera putih apabila Morgan Gibbs-White berjaya melakukan voli untuk mereka kembali menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke 67.

Bagaimanapun skuad Reds hanya memerlukan tiga minit sahaja untuk mereka kembali memimpin perlawanan apabila penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah berjaya menyambar bola hasil sepakan percuma yang diambil oleh Alexander-Arnold untuk kedudukan menjadi 3-2.

Biarpun Nottingham dan Liverpool saling melancarkan serangan ke arah kubu masing-masing, tiada pertambahan jaringan dapat dihasilkan, sekaligus kedudukan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini meletakkan Liverpool kini di tangga ketujuh liga dengan 50 mata, manakala Nottingham berkemungkinan tersingkir ke divisyen bawahan apabila menjadi pasukan kedua tercorot selepas Southampton dengan mengutip 27 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN