PETALING JAYA: Kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan kelmarin belum cukup memperlihatkan kualiti sebenar Selangor FC setelah mengharungi tujuh perlawanan Liga Super musim ini.
Perkara itu diakui pengendali Red Giants, Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa pasukannya masih belum mencapai tahap terbaik.
Jelasnya, masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bagi meningkatkan prestasi Selangor dan memastikan konsistensi pasukan hingga penghujung musim.
“Kemampuan pasukan kami perlu kekal konsisten, kami tidak boleh dengan prestasi terumbang-ambing kerana setiap perlawanan cukup penting. Setiap mata yang dikutip penting untuk kami berada dalam kedudukan terbaik.
“Kami nak juga pemain bekerja keras setiap hari kerana kami masih lagi belum mencapai tahap terbaik, banyak yang kami perlu tingkatkan lagi termasuk dari segi persefahaman dan taktikal.

“Kalau lihat dalam carta liga, kita tahu JDT dalam kelas tersendiri dan sudah pasti kita pun ingin bersaing untuk kutip mata maksimum dengan mana-mana pasukan yang kita jumpa.
“Namun, paling utama kita bergerak dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana setiap perlawanan penting untuk kita dapatkan keputusan positif bagi mengelak jurang yang lebih jauh,” katanya.
Mengulas mengenai kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan, Cheng Hoe mengakui pasukannya bermula perlahan, namun bernasib baik apabila usaha keras pemainnya pada babak kedua membuahkan hasil untuk meraih kemenangan kelima dalam liga.
Kemenangan di Petaling Jaya, kelmarin menyaksikan Selangor mengumpul 16 mata, lima mata di belakang pendahulu, JDT.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, K Devan enggan menyalahkan pemain apabila pulang dengan tangan kosong susulan gol kemenangan Selangor yang diledak Sharul Nazeem Zulpakar pada masa kecederaan.