IPOH: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari gembira dengan kejayaan anak buahnya mengekalkan rekod tanpa kalah anak buahnya dalam perlawanan ketujuh Liga Super, setakat ini.
Kejayaan 5-0 ke atas Perak FC, di gelanggang lawan semalam membolehkan pasukan bergelar Harimau Selatan mengukuhkan kedudukan di persada Liga dengan 21 mata.
“Kejayaan ini tidak mudah tetapi saya lega kerana pemain berjaya menunjukkan karakter untuk mengharungi perlawanan dengan jayanya .
“Perak FC berjaya memberi saingan buat kami,” katanya selepas perlawanan.
Beliau berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menunjukkan kesungguhan tinggi untuk mencatat kemenangan besar.
Katanya, pemain JDT menunjukkan keinginan mereka untuk melakar kejayaan dalam setiap perlawanan.
“Saya berbangga dan gembira dengan kesungguhan setiap pemain,” katanya.
Esteban berharap JDT berupaya mengekalkan kecemerlangan mereka dalam perlawanan seterusnya.
“Kami akan bertemu Kedah Darul Aman FC selepas ini dan saya berharap kami akan dapat meneruskan rentak,” katanya. – UTUSAN ONLINE