LONDON: Luke Shaw percaya Manchester United kurang ‘keghairahan, keinginan, kelaparan dan sikap’, malah menampilkan aksi ‘tidak boleh diterima’ ketika kalah 2-0 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi.
Persembahan cemerlang Magpies menyaksikan anak-anak buah Eddie Howe memintas Red Devils ke tempat ketiga, berterima kasih kepada jaringan Joe Willock dan Callum Wilson.
Skuad kendalian Erik ten Hag gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan liga berturut-turut buat kali pertama sejak Februari 2020, malah hanya melancarkan satu percubaan tepat ke gawang lawan menerus rembatan jarak jauh Antony yang diselamatkan Nick Pope dengan selesa.
Bek kiri United, Shaw merasakan keinginan Newcastle untuk memenangi perlawanan lebih tinggi keupayaan pasukannya.
Thank you, for your backing today 👏#MUFC || #NEWMUN pic.twitter.com/ttoqT9aW7h
— Manchester United (@ManUtd) April 2, 2023
“(Kami) tidak cukup bagus.
“Sebagai sebuah pasukan, kami harus jujur. Saya rasa Newcastle sangat bagus tetapi saya tidak fikir mereka memenangi perlawanan kerana kualiti yang ditunjukkan hari ini.
“Mereka memenanginya atas semangat, keinginan, kelaparan, sikap. Mereka jelas mempunyai motivasi lebih tinggi.
“Ia tidak boleh diterima dan kami tahu itu. Ini perlawanan besar dan mereka lebih mahukannya. Di Manchester United, itu tidak berlaku.
“Anda perlukan motivasi itu, anda perlukan semangat, kelaparan, sikap itu, kerana ia adalah tempat yang sangat sukar untuk datang, di sini. Jika kami tidak mempunyai itu, kami akan menderita. Ia jelas di atas padang. Kami tidak mencipta terlalu banyak, sejujurnya,” kata Shaw kepada Sky Sports.
Red Devils perlu bangkit untuk kembali ke landasan pada Rabu apabila menerima kunjungan Brentford di Old Trafford.
Shaw mengakui, pertembungan dengan Brentford juga menjanjikan kesukaran kerana lawan sedang memburu tiket ke pentas Eropah musim depan.
“Kami mempunyai tiga hari untuk bangkit semula kerana Brentford akan menjadi perlawanan yang sukar.
“Kami adalah satu pasukan. Apabila kami keluar di padang itu, kami semua perlu berjuang untuk satu sama lain. Kadang-kadang, musim ini, mungkin ia tidak ditunjukkan seperti itu.
“Saya pasti kami akan melalui semuanya sekali lagi dan bercakap lagi. Kami perlu menyedari masalah, dan mengubahnya dengan cepat, kerana kami masih boleh menjalani musim yang sangat baik,” ujarnya. – AGENSI