PETALING JAYA: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bersedia untuk melepas sepenuhnya saham pasukan The Red Warriors (TRW) sekiranya ada pihak yang merasakan dia tidak cukup bagus dan tidak layak menjadi pemilik kelab berkenaan.
Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata demikian dalam status laman Facebook miliknya selepas dipercayai berdepan kekecewaan penyokong susulan prestasi buruk pasukan selain turut berdepan krisis luar padang membabitkan bekas jurulatih.
“Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan) hutang RM3.8juta belum di terima lagi sesen pun.
“Banyak perancangan saya termasuk progress fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun.
“Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi ‘owner’ kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yg mampu,” luah Norizam di laman Facebooknya semalam.
Media turut melaporkan penyokong Kelantan ‘mengamuk’ dengan menaikan sepanduk dan menampal poster meluahkan kekecewaan kepada Norizam susulan aksi buruk diperagakan oleh TRW dalam saingan Liga Super ketika ini.
Sepanduk yang tertulis ‘TRW Kelantan FC bukan kelab menjual kopi dan burger! caro bola lah’ dipercayai digantung di sebuah jejantas di sekitar Kota Bharu selain puluhan poster turut ditampal di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai tanda tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan.
Terdahulu, pada aksi Liga Super menentang Selangor FC yang menyaksikan Kelantan tewas 0-3 kelmarin, Ultras Kelantan ‘Gate H Boys’ sudah mula melancarkan boikot dengan mereka ‘membisu’ sepanjang 90 minit perlawanan.
Untuk rekod, selepas mengharungi lapan perlawanan, Kelantan FC hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dengan mengumpul empat mata untuk berada di kedudukan kedua tercorot carta Liga Super.
Selain masalah prestasi, skuad TRW turut berdepan krisis luar padang apabila ejen terkenal Korea Selatan, Myeongho Jeong telah bersiap sedia membawa kelab itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Jeong mengakui dirinya sangat marah dengan kenyataan balas daripada kem TRW yang mendakwa dirinya sengaja memfitnah dan memburukkan Kelantan FC.
Ejen kepada bekas jurulatih Kelantan yang ‘direhatkan’ iaitu Choi Moon Sik itu, turut mendedahkan bakal menyaman kelab tersebut dan telah melantik barisan peguam tempatan bagi mengendalikan kes berkenaan.-UTUSAN