Messi kena 'boo' lagi

Messi kena ‘boo’ lagi

REAKSI Lionel Messi ketika Paris Saint-Germain menentang Lyon dalam perlawanan Ligue 1 di Stadium Parc des Princes, Paris semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Lionel Messi diejek oleh penyokong selepas Paris Saint-Germain (PSG) kalah di laman sendiri buat kali kedua berturut-turut, tumpas 0-1 kepada Lyon dalam perlawanan Ligue 1 semalam.

Anak-anak buah Christophe Galtier mengalami kekalahan kelima musim ini, namun masih mendahului liga dengan 66 mata, enam mata mengatasi Lens ketika saingan masih berbaki sembilan perlawanan.

Messi, 35, dikaitkan dengan kepulangan semula ke Barcelona selepas kontraknya bersama PSG tamat hujung musim ini, ditambah pula dengan ­penyingkiran pasukan itu pada peringkat 16 akhir Liga Juara-Juara.

Ejekan kedengaran ketika nama kapten Argentina itu diumumkan sebelum perlawanan bermula, dan ia berterusan sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan setelah jaringan tunggal Bradley Barcola pada minit ke-56 menghukum PSG.

Bulan lalu, Messi turut diejek oleh penyokong ketika meninggalkan padang selepas PSG dimalukan 0-2 oleh Rennes di Parc des Princes.

PSG juga bernasib baik tidak kalah de­ngan jaringan lebih besar selepas sepakan penalti yang diambil oleh Lyon menerusi Alexandre Lacazette sekadar terkena tiang.

“Diejek penyokong, saya rasa ia terlalu keras. Leo pemain yang banyak memberi, malah banyak yang telah disumbangkan sejak permulaan musim.

“Dengan tenda­ngannya yang genius, Leo mampu menghantar bola tepat, melakukan bantuan dan menjaringkan gol. Saya tidak pernah terfikir untuk mengeluarkannya,” kata Galtier.

Sementara itu, pemain tengah PSG, Danilo mengakui, mereka sedang melalui ‘fasa sukar’ dan perlu mencari jalan keluar memandangkan persaingan semakin menuju ke penghujung.

“Kami perlu bangkit. Gelaran kami belum terjamin, masih ada banyak perlawanan perlu diharungi,” kata Danilo.

PSG terjejas teruk akibat kecederaan, di mana Neymar masih menjalani proses pemulihan daripada pembedahan buku lalu dan pertahanan mereka pula hancur.

Semalam, PSG juga terpaksa memanggil pertahanan tengah berusia 17 tahun, El Chadaille Bitshiabu, namun dia terlalu gugup hingga kerap kehilangan bola. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN