MANCHESTER: Peluang Liverpool untuk mencabar kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris semakin sukar selepas dibedil 4-1 oleh Manchester City, sebentar tadi.
Kemenangan ini membolehkan City terus menghambat pendahulu liga, Arsenal dengan lima mata di belakang.
Bagi Reds, kekalahan kesembilan musim ini mengekalkan mereka di tangga keenam dengan 42 mata, tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham.
City bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Julian Alvarez pada babak pertama.
Anak-anak buah Pep Guardiola kemudian mengganas dengan tiga gol di separuh masa kedua hasil jaringan Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan dan Jack Grealish.

City beraksi tanpa penjaring terbanyak mereka, Erling Haaland yang cedera, manakala Reds meletakkan Darwin Nunez di bangku simpanan.
Liverpool bermula baik apabila mendahului perlawanan melalui percubaan pertama mereka apabila Mohamed Salah menyudahkan hantaran Diogo Jota pada minit ke-17.
City bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan selepas Alvarez menyempurnakan hantaran rendah Grealish, 10 minit berselang.
Memasuki babak kedua, permainan agak tegang dan Rodri bernasib baik tidak dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Cody Gakpo. – AGENSI