JOHOR BAHRU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu pemainnya segera melupakan kekalahan pahit 0-4 di tangan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kembali ke landasan kemenangan.
Katanya, itu adalah kekalahan pertama The Rhinos pada musim ini dan mereka masih berad pada kedudukan terbaik untuk merebut kejuaraan Liga Super memandangkan perjalanan masih jauh.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, kekuatan sesebuah pasukan dinilai dari segi mentaliti para pemain untuk bangkit selepas melalui tempoh sukar seperti perlawanan malam tadi.
“Persaingan baharu hendak bermula dan masih di peringkat awal dan ini merupakan kekalahan pertama kita. Justeru, kita perlu bangkit jika ingin bersaing dengan kelompok terbaik.
“Oleh itu, pemain perlu mempunyai keyakinan yang tinggi dan kembali mencipta kemenangan, ia bukanlah satu perkara mudah tetapi dengan sikap yang positif saya percaya kita mampu melakukan.
“Kita perlu ambil iktibar daripada kekalahan ini dengan memperbaiki kelemahan yang ada, perlawanan ini menjadi penanda aras buat kita untuk berada pada tahap lebih tinggi sebelum bermain Piala AFC,” katanya.

Mengulas lanjut tentang perlawanan itu, Kim Swee memberitahu, pemainnya tidak mendapat rentak permainan dari awal dan tidak mengawal permainan seperti yang dikehendaki sehingga menyebabkan Harimau Selatan berleluasa menguasai permainan.
“Apabila kita memberi ruang kepada pasukan seperti JDT, kita tahu mereka mempunyai kualiti dan corak permainan yang berbeza bagi menekan musuh di atas padang. Kesannya kita dibolosi dua gol pada babak pertama.
“Kami cuba mengawal permainan pada awal babak kedua, namun tak dapat jaringkan gol manakala serangan balas JDT menghukum kami pada minit akhir permainan,” katanya.
Mengenai gol pertama yang dikatakan ofsaid, Kim Swee berkata: “Saya sudah digantung, kalau saya cakap ni, saya kena gantung lagi. Jadi saya nasihatkan kepada pegawai perlawanan untuk saksikan semula insiden tersebut.” – UTUSAN ONLINE