Leka, kesilapan individu hukum Imigresen FC

Leka, kesilapan individu hukum Imigresen FC

PENYERANG KL City, Haqimi Azim Rosli (dua, kanan) bersaing dengan pemain Imigresen FC, Ahmad Syamim Yahya dalam aksi Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelekaan saat akhir pada kedua-dua separuh masa, selain kesilapan individu punca Imigresen FC kandas di pusingan kedua Piala FA selepas tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur City (KL City) semalam.

Ketua Jurulatih Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris berkata, anak-anak buahnya dilihat mampu memberi saingan kepada skuad kendalian Bojan Hodak pada awal permainan namun, dihukum dengan dua gol yang tidak sepatutnya.

“Perlawanan ini sememangnya sukar dan ia menepati jangkaan awal kami. Kami banyak bertahan pada separuh masa pertama dan lepaskan gol pada saat akhir babak pertama namun saya memuji disiplin pemain ketika bertahan.

“Kelekaan pemain sebabkan gol pertama dan kesilapan individu punca gol kedua. Pemain sangat berdisiplin tetapi kelekaan pada saat-saat akhir menyebabkan lawan mendapat gol,” katanya semalam.

Jaringan KL City disempurnakan oleh T. Saravanan menerusi voli cantik pada masa kecederaan babak pertama dan Romel Morales menambah duka Imigresen FC dengan gol kedua ketika permainan berbaki tujuh minit.

Ketika ditanya sama ada kekurangan perlawanan kompetitif ekoran Liga M3 yang berhenti rehat ketika bulan Ramadan turut menyumbang kepada kekalahan pasukannya, Mat Zan berkata, situasi itu tidak mengganggu momentum Imigresen FC.

“Rehat yang panjang tidak mengganggu. Kami tetap adakan latihan pada sebelah malam selain mengadakan perlawanan persahabatan jadi perkara itu tidak mengganggu momentum dan kami sebenar bersedia,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Imigresen FC tersingkir dari saingan Piala FA dan kini akan kembali menumpukan perhatian kepada saingan Liga M3 yang akan bersambung pada 6 Mei depan menentang Sains FC.

Selain Imigresen FC, pasukan Liga M3 yang turut terkandas di pusingan kedua Piala FA kelmarin ialah Melaka FC yang tumpas 4-0 kepada Terengganu FC manakala Manjung City FC dikecewakan oleh Kelantan FC 3-0. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya