Keletihan melampau ancaman utama City

Keletihan melampau ancaman utama City

ERLING Haaland (atas) bersaing dengan pemain tengah Bayern Munich, Leon Goretzka ketika membantu Manchester City melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara di Munich, Jerman semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Manchester City me­langkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut selepas menyingkirkan Bayern Munich, namun gergasi Liga Perdana Inggeris itu berdepan kebimbangan besar, keletihan melampau mampu menjejaskan musim mereka.

Gol Erling Haaland, iaitu ja­ringannya yang ke-48 bersama City membolehkan The Citizens mengikat Bayern 1-1 semalam, namun mereka meneruskan kemaraan menerusi agregat 4-1.

Kemenangan tersebut bakal menemukan anak-anak buah Pep Guardiola dengan juara 14 kali, Real Madrid pada separuh akhir bulan depan.

Begitupun menjelang pertembungan yang akan berlangsung pada 9 dan 16 Mei itu, City bimbang jadual padat akan menjejaskan misi untuk menghambat Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.

City kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga itu, namun memiliki kelebihan satu perlawanan.

Mereka akan menentang Sheffield United dalam separuh akhir Piala FA di Wembley esok sebelum menerima kunjungan Arsenal pada aksi Liga Perdana di Etihad, Khamis depan.

“Kami amat keletihan. Saya tidak tahu bagaimana kami hendak pulih sebelum menentang Sheffield United. Sekarang saat yang amat sukar menjelang perlawanan Sabtu.

“Tiga tahun berturut-turut mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sangat menakjubkan, namun ia juga memaksa pemain bekerja lebih keras,” kata Guardiola.

Mengulas pertemuan menentang Bayern, Guardiola me­ngakui pasukannya bergelut pada babak pertama selepas pertahanan lawan, Dayot Upamecano berjaya mematahkan semua serangan dari sebelah kiri.

“Kami juga bergelut dengan (Kingsley) Coman. Kami bernasib baik mereka (Bayern) melepaskan satu atau dua peluang, dan selepas itu penalti Erling pula tersasar.

“Bagaimanapun penyudah Erling amat bagus. Pengalaman yang kami miliki dalam pertandingan ini membuatkan pemain mahu melakukannya dengan baik. Separuh masa ke­dua jauh lebih baik sejak minit awal,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.