KUALA NERUS: Kemenangan 2-1 ke atas Kelantan United kelmarin menjadi titik kebangkitan Terengganu FC (TFC) untuk terus mendaki carta Liga Super.
Pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, dia berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya walaupun masih dihantui isuketumpulan penyudah.
Menurut jurulatih kelahiran Croatia itu, kemenangan amat penting bagi moral pemainnya selepas tewas kepada Negeri Sembilan dalam aksi terakhir, dua minggu lalu.
“Kami memiliki deretan peluang terhidang, namun gagal disudahkan seperti perlawanan lalu.
“Begitupun apa yang penting adalah tiga mata dan saya gembira dengan keputusan ini.
“Bagaimanapun kami memilih jalan yang sukar untuk menang setelah Kelantan United merapatkan jurang gara-gara pemain hilang fokus menyebabkan TFC tertekan di hujung permainan.

“Meskipun masih ada kelemahan, secara keseluruhan TFC bermain baik malam ini (semalam) dan mencipta lebih banyak peluang berbanding pihak lawan,” katanya.
Jaringan Liridon Krasniqi dan Jordan Mintah pada babak pertama memberi kelebihan buat TFC sebelum Jose Porteria menyumbat gol saguhati pelawat minit ke-76.
Steinbruckner turut mempertahankan aksi penyerang, Ivan Mamut yang masih mencari rentak terbaik ketika Adisak Kraisorn dan Mintah mula membuka akaun jaringan mereka.
“Dua minggu lalu Mamut tidak tersenarai dalam skuad kerana masalah prestasi, namun dia bekerja keras ketika latihan dan saya yakin masanya akan tiba untuk dia menjadi pemain penting TFC,” katanya.
Selepas enam perlawanan, TFC mengutip tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan menyebabkan Steinbruckner diberikan surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan.