PETALING JAYA: Serba tidak menjadi buat pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman apabila dia terpaksa memulakan aksi kelayakan Grand Prix (GP) Sepanyol hari ini di petak terakhir selepas dikenakan penalti oleh steward perlumbaan.
Syarifuddin atau lebih mesra dengan panggilan Damok pada awalnya menempah petak ke-25 setelah melakar masa sepusingan 1 minit 47.501 saat (s) pada sesi kelayakan di Litar Jerez.
Bagaimanapun, kesilapan Damok menunggang jenteranya terlalu perlahan pada garis perlumbaan sehingga menghalang peumba lain telah mengakibatkan dia dihukum berlumba pada grid terakhir dan dikenakan penalti sepusingan yang panjang (Long Lap penalty).
Mengulas mengenai insiden yang menimpanya, pelumba MTHelmets_MSi itu mengakui, dia telah membuat kesilapan pada sesi kelayakan tersebut.
“Hari ini (semalam) bukanlah hari yang terbaik buat saya, pada sesi kelayakan saya ada membuat kesilapan dan telah dikenakan penalti.
“Sepatutnya saya bermula di petak ke-25, namun, akibat penalti itu saya akan bermula di petak terakhir dan saya dikenakan Long Lap Penalty sewaktu perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ZK Racing di sini, hari ini.
Ekoran hukuman tersebut, anak kelahiran Selangor itu memohon maaf di atas kekhilafan yang dilakukannya itu.
“Saya mohon maaf kepada pasukan dan semua kerana penalti yang dikenakan ke atas saya.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk perlumbaan esok (hari ini) dan cuba bersaing untuk mendapatkan mata,” ujarnya.
Damok kini mengumpul lima mata dan berada di kedudukan ke-20 dalam senarai pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto3. – UTUSAN ONLINE