LONDON: Graham Potter dipecat hanya selepas tujuh bulan membimbing Chelsea ekoran prestasi buruk Blues yang kini menghuni tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris.
Pemilik kelab, Todd Boehly sudah hilang sabar selepas Chelsea kalah 0-2 kepada Aston Villa di tempat sendiri kelmarin biarpun sudah berbelanja lebih 500 juta pound (2.71 bilion) pada musim baharu.
Bekas pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann disebut-sebut sebagai calon pengurus baharu, namun buat sementara, Bruno Saltor akan membimbing pasukan.
Chelsea hanya menang tiga daripada 11 perlawanan terakhir tetapi berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara di mana mereka akan menentang juara bertahan, Real Madrid.
Perlawanan itu mungkin menjadi faktor kepada pemilik baharu dari Amerika Syarikat (AS) itu membuat keputusan drastik, dengan aksi pertama di Madrid hanya 10 hari lagi.
Club statement.
— Chelsea FC (@ChelseaFC) April 2, 2023
“Kami amat menghormati Graham sebagai jurulatih dan sebagai individu. Dia sentiasa bersikap profesional, berintegriti dan kami semua kecewa dengan keputusan ini.
“Kami mempunyai baki 10 perlawanan Liga Perdana dan suku akhir Liga Juara-Juara. Kami akan meletakkan setiap usaha dan komitmen dalam setiap satu daripada perlawanan itu supaya dapat menamatkan musim dengan cemerlang,” kata Boehly dan pemilik bersama, Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.
Potter menjadi pengurus kedua yang dipecat oleh konsortium yang diketuai Boehly pada musim pertama mereka memiliki kelab itu.
Thomas Tuchel, yang dilantik sebagai bos minggu lalu, dipecat pada September tahun lalu, hanya setahun lebih selepas memimpin Chelsea menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara. – AGENSI