MANCHESTER: Bekas bintang Manchester United, Paul Scholes menyarankan pengendali kelab, Erik ten Hag mencari ketua pasukan yang ‘kurang emosi’ berbanding Bruno Fernandes.
Kata Scholes, Red Devils akan mendapat manfaat daripada kapten yang lebih tenang atau mereka mungkin bergolak menuju penghujung Mac dan memasuki April.
Bruno, 28, merupakan naib ketua pasukan kepada Harry Maguire, namun dia kerap memegang lilitan kapten gara-gara Maguire jarang diturunkan dalam kesebelasan utama di bawah bimbingan Ten Hag.
Sikap pemain antarabangsa Portugal itu bagaimanapun dikritik ketika United dimalukan 7-0 oleh Liverpool, Ahad lalu, terutama bahasa tubuhnya yang dianggap menjengkelkan penyokong.

“Kapten anda haruslah seorang yang berpengaruh dan mampu menenangkan keadaan. Dia kena bertindak sebagai ketua.
“Saya bimbang tentang sikap dia (Fernandes) seandainya Manchester United, pada bulan Mac (atau) April masih di posisi merebut gelaran liga. Ia tempoh yang genting dan saya tidak fikir dia mampu menjadi kapten yang ideal.
“Berdepan perlawanan lebih besar, bahagian lebih penting musim ini dan berpeluang merebut trofi atau sebagainya, kita memerlukan ketua pasukan yang kurang emosi,” kata Scholes yang menyarung jersi United dari 1993 hingga 2013.
Scholes percaya Fernandes menunjukkan reaksi berlebihan dan cenderung ‘berlakon’ dalam situasi tertentu.
Dia juga tidak dapat menyembunyikan bahasa tubuh apabila kecewa dengan rakan-rakan sepasukan, menolak penjaga garisan serta mengangkat tangan ke udara jika tidak gembira. – AGENSI