SAO PAULO: Trio Liverpool, Alisson, Fabinho dan Roberto Firmino tercicir daripada senarai 23 pemain Brazil yang bakal menentang Maghribi dalam aksi persahabatan, hujung bulan ini.
Skuad Selecao yang dibimbing jurulatih sementara, Ramon Menezes turut mengetepikan Neymar, Gabriel Martinelli dan Bruno Guimaraes.
Neymar menyamai rekod legenda Brazil, Pele dengan meledak gol ke-77 ketika kalah kepada Croatia pada suku akhir Piala Dunia di Qatar, tahun lalu.
Kecederaan buku lali yang dialami ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) menumpaskan Lille, dua minggu lalu menyebabkan penyerang berusia 31 tahun itu terpaksa disisihkan.
Menezes yang mengambil alih tugas Tite menyenaraikan sembilan muka baharu, termasuk Andrey Santos dari Chelsea (dipinjamkan ke Vasco da Gama), pemain tengah Wolverhampton, Joao Gomes dan penyerang Athletico Paranaense, Vitor Roque.
Duo United, Casemiro dan Antony juga akan menyertai barisan pemain Liga Perdana lain seperti Ederson, Emerson Royal, Renan Lodi, Lucas Paqueta dan Richarlison.
Brazil akan menguji Maghribi, yang melakar kejutan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Ibn Batouta, Tangier pada 25 Mac ini. – AGENSI