Tindakan FAM redakan isu panas pengadil

Tindakan FAM redakan isu panas pengadil

STUART Ramalingam(kiri) ketika majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara MFL dan minyak masak ALIF sebagai penaja Liga Liga M untuk musim kedua berturut turut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyifatkan tindakan yang diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggantung serta merta pengadil Liga Malaysia (Liga M), Zulkarnain Zakaria sebagai langkah yang proaktif bagi mengatasi masalah ‘kelemahan’ mutu pengadilan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, badan induk bola sepak negara telah mengambil tindakan segera sebelum laporan dan aduan dikemukakan oleh pasukan sekali gus meredakan isu panas membabitkan keputusan perlawanan yang dikendalikan Zulkarnain sebelum tindakan lanjut diambil kelak.

Menurut Stuart, saingan Liga M tidak pernah lari daripada isu pengadil malah masalah itu sebenarnya menjadi topik bualan utama di di kebanyakan negara lain sehingga sering mencetuskan perdebatan di kalangan penyokong bola sepak seluruh dunia apabila ada keputusan kontroversi dilakukan pengadil.

“Kita lihat di mana-mana liga bukan sahaja di Malaysia tetapi, di seluruh dunia isu dan topik berkenaan pengadil tidak lari jauh daripada pengendalian liga. Jika penyerang terlepas peluang, mereka boleh ambil peluang itu pada perlawanan seterusnya tetapi bagi pengadil, tidak boleh berlaku kesilapan.

“FAM ambil perkara ini dengan serius dan MFL sentiasa melakukan rundingan dengan FAM untuk memastikan lantikan pengadil yang mempunyai kredibiliti dan kesempurnaan seperti yang dimahukan oleh komuniti bola sepak di negara ini.

“Jadi, tindakan yang diambil oleh FAM itu adalah langkah proaktif sebelum apa apa laporan ataupun aduan daripada pasukan dikeluarkan. Kerjasama daripada FAM untuk menambah baik pengadil juga amat baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan kolaborasi antara MFL dan minyak masak ALIF sebagai penaja Liga M untuk musim kedua berturut turut.

Sebelum ini, FAM mengambil keputusan untuk menggantung Zulkarnain selepas dia didapati terkhilaf dalam menginterpretasi dua situasi pemberian penalti ketika perlawanan Liga Super antara Sabah dan Penang FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, tindakan itu diputuskan selepas Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil bersidang kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Stuart memaklumkan jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ketika ini akan turut dimanfaatkan bagi menambah baik kualiti pengadil sebelum Liga M kembali bersambung.

“Kami harap ini dapat mengurangkan (isu pengadilan), ia tidak boleh dihilangkan kerana akan ada pasukan yang tewas dan kemudiannya pengadil terus mencuri tumpuan atas insiden yang berlaku.

“Saya percaya penyokong kita sedar dan terdidik mengenai apa yang silap dan apa yang tidak silap. Kita akan bekerjasama dengan FAM untuk menambah baik perkara ini,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.