'Terima kasih CryptoDATA MotoGP'

‘Terima kasih CryptoDATA MotoGP’

RAZLAN RAZALI (tengah) bersetuju menaja Danial Syahmi (kanan) dan Hakim Danish yang akan memulakan saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup di Portimao, Portugal, hari ini. - Ihsan ZK Racing

PETALING JAYA: Dua pelumba muda negara yang beraksi dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup, Danial Syahmi Ahmad Shahril dan Muhammad Hakim Danish Ramli melahirkan rasa gembira di atas kesudian pasukan CryptoDATA MotoGP untuk menaja mereka sepanjang beraksi di Eropah.

Hakim Danish menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh ZK Racing melahirkan rasa syukur di atas sokongan pasukan itu bagi membantu kariernya sebagai pelumba profesional.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada CryptoDATA MotoGP di atas tajaan ini.

“Saya amat bersyukur dengan tajaan pasukan itu lebih-lebih lagi pada penampilan sulung saya dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup ini.

“Saya berjanji hanya akan memberikan yang terbaik dan beraksi kompetitif di dalam setiap perlumbaan bagj musim 2023 ini. Terima kasih RNF,” katanya, hari ini.

CryptoDATA MotoGP sebuah pasukan milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali bersetuju menanggung perbelanjaan perjalanan serta perkhidmatan hospitaliti untuk perlumbaan di Eropah bagi musim 2023 buat kedua-dua pelumba.

Danial Syahmi dan Hakim Danish akan memulakan aksi mereka musim ini dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup di Portimao, Portugal hari ini.

Sementara itu, Danial Syahmi pula memberitahu, musim 2023 merupakan tahun keduanya berlumba dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup.

“Saya ingin berterima kasih di atas tajaan dari RNF Racing untuk musim ini. Penajaan ini sangat membantu perjalanan karier saya di dalam perlumbaan.

“Saya akan memastikan diri saya kekal berdaya saing di dalam kejuaraan ini dan bersedia memburu keputusan podium,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN