ORANG Malaysia memang mudah lupa, bukan?
Jika kita putarkan minda kembali ke tahun 2015, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin, melancarkan satu struktur tadbir urus yang dinamakan Model Sukan Baharu. Enjin carian internet akan memudahkan anda mencari maklumat lanjut.
Pelancaran diadakan pada Februari 2015 selepas Khairy menerima syor sekumpulan pakar pengstrukturan sukan dari Institut Sukan Australia Barat (WAIS) yang menjalankan kajian selama 11 minggu untuk menemu bual lebih 130 pemegang taruh sukan berprestasi tinggi di Malaysia dalam kalangan pentadbir, jurulatih, atlet dan bekas atlet, ahli lembaga persatuan, pakar sains sukan, pakar fisioterapi dan pembuat dasar.
Hasilnya, Khairy menstruktur semula tadbir urus dan skop tugasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) selepas mencari titik persamaan.
MSN diarah kembali kepada fungsi asasnya sebagai penyelaras pembangunan atlet, menjalin hubungan, merangka kerjasama dengan persatuan-persatuan sukan dengan semua agensi lain dalam melahirkan kelompok atlet untuk digilap ke peringkat tertinggi.
Program atlet paling elit diwujudkan dengan diberi nama Podium dan dikendalikan oleh ISN.

Pada tahun sama, dua individu asing – Tim Newenham dan Keith Power – dipelawa datang ke Malaysia untuk mewujudkan satu proses marginal gains atau kelebihan-kelebihan kecil yang boleh diterjemah ke dalam bentuk kemenangan.
Mereka datang untuk mengajar pentadbir-pentadbir sukan Malaysia yang dahulunya merancang strategi di sebalik tabir bagi menjayakan Sukan Komanwel 1998 tanpa bantuan asing, cuma kepakaran jurulatih luar. Pelantikan mereka kononnya untuk mewujudkan proses. Apa pula proses Jaya’98 yang membawa pulangan 10 emas untuk menduduki tangga keempat secara keseluruhan?
Khairy menjanjikan Podium ini tiada kompromi, tiada rayuan dan tiada alasan. Atlet terpilih akan dibantu dengan rapi, dari segi pemakanan, latihan, kemudahan, sains sukan dan kejurulatihan yang dirangka spesifik untuk setiap atlet dan kumpulan.
Dalam struktur baharu itu, diwujudkan satu Jawatankuasa Petugas atau Command and Control yang dipengerusikan oleh Khairy. Dia bos, dia ada kuasa penentu.
Di bawah struktur ini, KBS mengeluarkan perbelanjaan besar. Misalnya kerjasama ISN mewujudkan basikal khas selepas kajian dan penyelidikan kejuruteraan aerodinamik bernilai RM13 juta atas cadangan jurulatih John Beasley, akhirnya membawa kepada pingat perak acara keirin buat Datuk Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik ke-32 di Tokyo pada 2021.

Program Podium yang menelan anggaran RM100 lebih juta di bawah pengurusan Newenham menghasilkan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tangga ke-14 di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Kita menduduki tangga ke-12 dengan 7-5-12 di Komanwel Gold Coast 2018. Newenham dianggap gagal kerana tidak memenuhi sasaran 10 tangga teratas dari segi kedudukan kontinjen secara keseluruhan.
Apabila Podium diuruskan semula oleh MSN susulan pemergian Newenham, kontinjen negara menduduki tangga ke-10 dengan mengutip 7 emas, 8 perak dan 8 gangsa di Sukan Komanwel di Birmingham pada 2022.
Dalam tempoh lapan tahun sejak pengumuman itu, dengan empat Menteri bersilih ganti mengisi kerusi yang ditinggalkan Khairy, hari ini KBS memikul tanggungjawab menghasilkan pingat emas pertama negara.
Hannah Yeoh memperkenalkan Jawatankuasa Road to Gold yang dipengerusikan secara bersama dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dengan mengecilkan lagi kelompok atlet dalam Podium, diserapkan pula ke dalam Road to Gold.
Peranan MSN dan ISN dihadkan sebagai pembekal sistem sokongan, manakala projek khas ini dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dan dibantu Ketua Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai yang tentunya sarat dengan tugasan hakiki.
Dua perkara yang membebankan minda penulis – takut-takut pemikir secara sambilan dapat hasil sambilan dan takut Jawatankuasa ini dimansuhkan sejurus menteri bertukar.