Pestabola Merdeka medan persiapan ke Piala Asia

Pestabola Merdeka medan persiapan ke Piala Asia

Skuad kebangsaan akan kembali berkumpul pertengahan Mac ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober bakal menjadi pentas terbaik untuk pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon merangka strategi dan membuat persiapan untuk bersaing dalam Piala Asia yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Qatar.

Pemilihan Palestin, Lubnan dan India yang berkedudukan ranking yang lebih tinggi berbanding Harimau Malaya untuk bersaing dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 sudah pasti akan menjadi lawan berkualiti sebelum beraksi di Piala Asia nanti.

Berdasarkan ranking semasa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Palestin berada di kedudukan ke-93 dunia, Lubnan (100) dan India (106) akan beraksi dalam penganjuran semula Pestabola Merdeka yang kali terakhir diadakan pada 2013.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah tepat untuk memilih tiga negara terbabit menyertai Pestabola Merdeka kerana disifatkan boleh menguji prestasi anak buah Pan Gon.

“Kalau kita mahu anjurkan kejohanan, kalau boleh pilih pasukan yang ranking lebih tinggi kerana boleh bantu pasukan untuk baiki kedudukan (ranking). Jadi, langkah yang diambil FAM ini bertepatan dan boleh membantu pasukan ke arah lebih baik.

“Tiada guna kalau kita jemput pasukan yang ranking lebih rendah. Untuk kejohanan Pestabola Merdeka, pemilihan negara Timur Tengah pastinya akan memberi peluang untuk pasukan kita belajar sesuatu. Jadi, ini satu keputusan yang bagus dan bukan lagi melihat saingan negara serantau.

“Untuk berdepan pasukan-pasukan yang ranking lebih tinggi, pastinya kita kena bersedia dengan kekuatan mental dan fizikal. Saya percaya, Pan Gon akan menggunakan peluang ini untuk membentuk sebuah pasukan yang terbaik sebelum ke Piala Asia,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed mengesahkan Palestin, Lubnan dan India akan menyertai saingan Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober depan.

“Perkara ini juga telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM baru-baru ini. Jemputan juga telah dihantar dan semua pasukan juga sudah bersetuju.

“Kita menjemput pasukan dari Timur Tengah kerana mereka memiliki kelebihan daripada segi fizikal dan kemampuan sebagai lawan yang bagus untuk pasukan negara. Ia akan menjadi kejohanan yang penting untuk Harimau Malaya menilai kemampuan sebelum Piala Asia berlangsung.

“Malah, saya yakin kegemilangan Pestabola Merdeka ini juga akan dapat dikembalikan dengan kita menjemput pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada pasukan negara selain akan menjadikan kejohanan lebih menarik,” kata Mohd. Firdaus.

Malaysia muncul pasukan paling berjaya dengan 10 kejuaraan sejak dianjurkan pada 1957 diikuti Korea Selatan tujuh kali dan Myanmar empat kali.

Dalam pada itu, Mohd. Firdaus turut mengesahkan kejohanan Pestabola Merdeka akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan konsep seperti digunakan dalam Piala Raja Thai di Chiang Mai, September tahun lalu.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya