Jentera Hafizh kurang menyengat

Jentera Hafizh kurang menyengat

HAFIZH Syahrin sewaktu beraksi dalam Kejuaraan Superbike Dunia 2023 di Litar Mandalika, Indonesia, Ahad lepas. - IHSANPetronas MIE Racing Honda Team
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Superbike negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih berdepan dengan beberapa isu pada jentera yang jelas mengganggu penampilan sulungnya dalam kategori utama Kejuaraan Superbike Dunia 2023 yang telah pun memasuki pusingan kedua.

Keluhan Hafizh itu telah mula disuarakan sejak ujian pra-musim lagi apabila pelumba berusia 29 tahun itu mengadu motosikalnya tidak laju seperti pesaing-pesaingnya yang lain.

Masalah tersebut jelas telah mengganggu rentak Hafizh pada awal musim apabila sekadar mengutip dua mata daripada dua pusingan perlumbaan di Australia, seminggu yang lalu dan Litar Mandalika, Indonesia, kelmarin.

“Perlumbaan menjadi sangat sukar buat saya kerana jentera tidak membantu untuk saya berlumba dengan pelumba yang lain.

“Sewaktu di selekoh kita sangat perlahan, jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain, motosikal saya tidak boleh pergi,” katanya dalam nada kecewa menerusi rakaman video yang dikirimkan dari Litar Mandalika.

Dalam saingan, kelmarin, Hafizh sekadar berpuas hati dengan kedudukan ke-15 menerusi catatan sepusingan terbaik 1 minit 34.545s dalam perlumbaan kedua yang sekadar menyaksikannya mengutip satu mata.

Keputusan sama dilakar pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu dalam perlumbaan pembukaan musim di Litar Phillip Island.

Hafizh yang bernaung di bawah pasukan Petronas MIE Racing Honda Team kini hanya boleh berharap dan berdoa agar krew pasukannya dapat melakukan sesuatu menjelang pusingan ketiga di Belanda pada 21-23 April ini.

“Saya harap ujian akan datang dapat memberi impak agar persembahan saya di Eropah lebih baik,” ujarnya yang memacu jentera Honda CBR1,000 RR-R.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa rakan senegara, Adam Norrodin yang kini mengumpul sembilan mata keseluruhan untuk menghuni tempat ke-17 dalam senarai pelumba Supersport.

Dalam aksi di Indonesia, Adam melengkapkan aksinya di kedudukan ke-15 (1:39.534s) dalam perlumbaan pertama, manakala untuk saingan kedua dia memperbaiki keputusannya dengan melonjak ke tempat ke-13 (1:37.856s).

“Saya gembira dapat kutip mata, untuk perlumbaan berikut di Eropah, saya akan buat sehabis baik untuk mendapatkan keputusan yang lebih bagus,” kata Adam yang mewakili pasukan Petronas MIE MS Racing Honda Team.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya