SIC bukan untuk golongan elit - Shafriman

SIC bukan untuk golongan elit – Shafriman

PELBAGAI aktiviti akan dianjurkan di Litar Sepang selepas ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mahu membuang persepsi orang ramai bahawa trek milik Kerajaan Malaysia itu hanya dikhususkan untuk golongan elit.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, bagi menjayakan hasrat tersebut, pihaknya akan menganjurkan acara-acara lain seperti berbasikal, marathon dan konsert bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

“Persepsi orang ramai menyatakan SIC merupakan tempat orang elit kerana sebelum ini kita menganjurkan acara seperti Formula 1, telah menyebabkan ramai yang bertanggapan bahawa tempat ini mahal.

“Jadi saya ingin tukar persepsi, tahun ini kita akan buka lebih banyak lagi acara yang mengenakan harga berpatutan.

“Jika sebelum ini, kita hanya menganjurkan acara sukan pemotoran empat dan dua roda, tetapi kali ini kita akan buka tempat untuk sukan-sukan rakyat seperti berbasikal dan marathon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Hari Terbuka SIC bagi meraikan para penaja dan pelanggan yang selama ini banyak memberikan sokongan kepada litar tersebut di sini, hari ini.

Menurut Shafriman, pihaknya juga akan kembali menganjurkan konsert-konsert memandangkan SIC memiliki tempat yang sesuai untuk aktiviti sedemikian.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai penganjuran Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) di negara ini, Shafriman memberitahu, setakat ini, pihaknya belum ada perancangan untuk membawa semula perlumbaan tersebut ke Malaysia.

“Kita memang belum ada perancangan, sebab semasa kita menganjurkan WSBK sebelum ini, tidak ramai yang datang beli tiket dan disebabkan faktor tersebut kita berhenti menganjurkan perlumbaan itu di SIC,” ujarnya.

Untuk rekod, bagi musim 2023, Malaysia memiliki dua wakil dalam perlumbaan tersebut iaitu Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam kategori utama, Superbike dan Adam Norrodin bersaing untuk Supersport. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.