Penghormatan buat Ayah Ki, berkhidmat di bawah 12 menteri

Penghormatan buat Ayah Ki, berkhidmat di bawah 12 menteri

Zaki Abdul Rahman ketika menerima Anugerah Khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Anugerah Sukan Negara 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYABAS penulis ucapkan kepada semua pemenang pelbagai kategori Anugerah Sukan Negara 2021 yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini, khususnya kepada Datuk Azizulhasni Awang dan Datuk Pandelela Rinong.

Rata-rata senarai pemenangnya diketahui umum dalam majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun penulis mahu mengajak pembaca meneliti senarai pemenang Anugerah Khas.

Berbanding Subkhiddin Mohd. Salleh yang dikenali sebagai pengadil bertaraf antarabangsa yang kini menjadi tenaga pengajar bersama FIFA dan penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang lama berkhidmat dalam ping pong, Chan Foong Keong, Mohd. Zaki Abdul Rahman pegawai sukan yang bertugas di sebalik tabir dan jarang-jarang dipetik dalam media.

Dalam kerdipan lampu limpah ruang Dewan Bankuet Casa 4, MSN, yang mengenali Mohd. Zaki secara peribadi, selain pegawai-pegawai MSN yang pernah bekerja dengan beliau, ialah Anwar sendiri kerana mereka seangkatan menuntut di Universiti Malaya.

Berasal dari Kelantan, Mohd. Zaki, atau Ayah Ki menyumbang lebih 40 tahun sebagai pemikir dan pelaksana pelbagai program sukan bermula di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum menjadi tenaga penggerak bersama sekumpulan pegawai menghidupkan semula Majlis Sukan Negara (MSN) pada 1982.

BERSAMA bekas atlet olahraga kebangsaan.

Mohd. Zaki meneruskan tradisi birokrat seperti Sidique Ali Marican, Wan Ahmad Radzi Wan Abdul Rahman, Wilfred Vias, Datuk Ho Koh Chye, Datuk R. Yogeswaran, Datuk M. Vaithilingam dan Datuk Wira Mazlan Ahmad yang merangka dasar-dasar pembangunan sukan negara secara strategik.

Mohd. Zaki terbabit secara langsung dalam penganjuran Sukan SEA 1989 dan bertindak selaku Ketua Pegawai Operasi edisi ke-21 pada 2001, tugasan terakhir beliau sebelum bersara pada 2002 dengan rekod berkhidmat di bawah 12 Menteri Belia dan Sukan.

Sebagai pengarah pembangunan MSN, beliau bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi menjayakan program pengenal pastian bakat Tunas Cemerlang dan Kem Bakat.

Atas inisiatif MSN yang diterajui Mazlan, Mohd. Zaki menggerakkan penubuhan program latihan bakat olahraga di SMK Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS) Kajang dengan mengasah bakat atlet seperti Noraseela Khalid, Nazmizan Muhammad, Malik Ahmad Tobias, Moh Siew Wei, Roslinda Samsu dan Robani Hassan – kesemuanya juara acara masing-masing, dengan Noraseela dan Roslinda mengutip pingat di Sukan Asia.

Bagi bersiap menghadapi Sukan Komanwel 1998, bersama pucuk pimpinan MSN, Mohd. Zaki mengatur langkah strategik termasuk membina pusat kecemerlangan sukan terjun, angkat berat serta menggalakkan unit beruniform bergiat dalam sukan menembak.

Menteri, Setiausaha Politik, Setiausaha Sulit Kanan, Setiausaha Akhbar dan pegawai tugas-tugas khas datang dan pergi setiap lima tahun, bahkan lebih singkat dalam senario politik semasa.

Yang meninggalkan legasi sejati ialah pemimpin, pembuat dasar dan pelaksana dalam menyediakan persekitaran berprestasi tinggi untuk atlet dan jurulatih seperti Mohd. Zaki.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya