Nicol tumpu pembangunan akar umbi

Nicol tumpu pembangunan akar umbi

NICOL David (empat dari kanan) hadir ketika Anugerah Sukan Negara 2021, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda skuasy negara, Datuk Nicol David mahu menabur bakti terhadap pembangunan akar umbi dalam sukan tersebut sebelum menjadi jurulatih di peringkat lebih tinggi.

Nicol menerusi Yayasan Nicol David ketika ini memberikan sepenuh fokus dalam memupuk minat kanak-kanak seawal usia lapan tahun untuk berjinak-jinak dengan skuasy selain turut memberikan mereka kelas Bahasa Inggeris.

Beliau percaya, program dengan rangka masa lima tahun itu mampu memberikan peluang serta ruang kepada pemain-pemain muda dalam laluan mereka untuk menjadi pemain yang boleh beraksi di peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

“Buat masa ini, tumpuan saya memang ke arah pembangunan akar umbi kerana saya mahu curahkan segala pengalaman yang ada kepada pemain-pemain muda bagi membolehkan mereka rasa pengalaman di peringkat lebih tinggi.

“Saya adalah ketua jurulatih yang akan buat program sepanjang tahun dan sekiranya mula lebih awal, lebih mudah untuk bagi semangat dan keyakinan diri kepada pemain dalam usaha kita bangunkan pemain muda,” kata bekas pemain No.1 dunia itu.

Pada masa sama, Olahragawai Kebangsaan sebanyak 10 kali itu mengakui, tidak mudah untuk pemain-pemain lain mengulangi pencapaian yang beliau lakukan ketika bergelar pemain No.1 dunia selama 109 bulan.

Bagaimanapun, Nicol percaya tahap permainan skuasy di Malaysia masih berada pada tahap terbaik meskipun selepas beliau bersara menerusi pemain-pemain seperti Ng Eain Yow dan S. Sivasangari.

“Untuk jadi seperti saya memang susah tetapi kami tidak beri tekanan kepada setiap pemain kerana di seluruh dunia pun pun tidak ada pemain seperti saya. Kami tetap bagi sokongan terbaik kepada pemain-pemain ini.

“Prestasi skuasy di Malaysia ketika ini memang baik kerana ada yang berlatih di luar negara seperti Eain Yow dan Sivasangari. Bagaimanapun, pemain-pemain di sini juga ada standard yang tinggi dan masih ada ruang untuk meningkat,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya