PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) menunjukkan perkembangan positif untuk bersaing sebagai antara liga terbaik rantau Asia apabila kes tunggakan gaji pasukan menunjukkan penurunan mendadak dalam tempoh lima tahun terakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mendedahkan, ketika beliau menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2018, terdapat 232 kes dicatatkan.
“Begitupun sekarang hanya ada sembilan hingga 13 kes aktif, jadi ia menunjukkan usaha untuk mengurangkan jumlah kes tunggakan gaji telah berjaya kita laksanakan.
“Dengan penglibatan CEO-CEO kelab yang sekarang lebih peka kepada penggunaan kewangan dalam bajet saya yakin kita akan melihat lagi pengurangan masalah tunggakan gaji selepas ini,” katanya.
Menurut Stuart, MFL akan terus mengambil tindakan keras tanpa memilih kasih seperti yang dilakukan musim lalu apabila tidak meluluskan lesen kepada Sarawak United dan Melaka United meskipun tindakan itu akan menjatuhkan nilai Liga M.
Jelas beliau, hukuman sebegitu perlu dibuat bagi memastikan stigma tunggakan gaji tidak akan berlaku lagi yang mampu mencalarkan imej Liga M pada musim depan.
“Seperti tahun lalu, liga kita berakhir dengan dua pasukan yang mempunyai masalah gaji sekali gus menyebabkan mereka tidak layak untuk dapatkan lesen musim ini.
“Kita tahu ketegasan untuk buat keputusan itu bukan senang memandangkan ia membabitkan dua kelab besar sekali gus menjatuhkan nilai komersial. Ketiadaan Melaka dan Sarawak jelas beri impak besar,” katanya.