BIARPUN sepanjang kariernya dia terlibat dengan sukan lasak hingga pernah dijulang sebagai juara acara tempur, Ultimate Fighting Championship (UFC), namun Ronda Rousey mempunyai sisi lembut sebagai seorang wanita, ibu dan isteri.
Memulakan karier sebagai atlet judo dan kini bertarung dalam pertandingan gusti WWE, Rousey, 36, lebih dikenali sebagai jagoan UFC sebelum mengumumkan persaraan pada 2018.
Ketika itu, UFC masih terlalu baharu dalam kalangan wanita dan kehadiran Rousey telah melonjakkan sukan tersebut sehingga dianggap ‘pencetus kebangkitan wanita’.
Selain minat mendalam terhadap sukan tempur, antara sebab utama Rousey memilih untuk bertarung dalam UFC adalah bagi mengutip derma dengan motonya yang terkenal ‘Jangan Muntah, Cubalah Telan’.
Dia pernah mengumpul AS$11,800 (RM52,300) untuk satu pertarungan yang kemudian disalurkan kepada Pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Didi Hirsch yang berpangkalan di California pada 2013.

Semua wang tersebut diserahkannya kepada organisasi terbabit hanya dua jam sebelum dia dinobatkan juara UFC 2013 yang juga kemenangan sulungnya dalam kejohanan itu.
Mengenang semula kisah 10 tahun lalu, Rousey yang pernah menjadi tokoh wanita paling menonjol dalam sukan seni bela diri campuran (MMA) mendapat dorongan daripada ibunya, Ann Maria De Mars untuk melakukan kerja kebajikan.
Katanya, dia telah ditanya oleh De Mars mengenai siapa yang dimahukan sebagai penyokong terkuatnya dalam sukan ini dan Rousey menjawab ‘orang yang mengalami gangguan makanan dan penyakit mental’.
“Selepas mendengar jawapan itu, saya pulang ke rumah dan buat carian mengenai penyakit tersebut. Memang benar, gangguan makanan mencatat jumlah kematian paling tinggi,” kata ibunya.

Pada tahun-tahun berikutnya, Rousey menyumbang sebahagian besar jualan baju-T kepada seni mempertahankan diri kanak-kanak, malah berjaya mendapatkan penajaan bagi pertandingan kuiz dalam talian yang menghadiahkan beras kepada setiap jawapan yang betul.
Sumbangannya itu telah memberi makanan kepada hampir 100,000 orang.
Selain kisah kebajikan, ramai tidak tahu Rousey pernah menghadapi masalah badannya yang dikatakan terlalu maskulin.
Pemenang pingat emas judo dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing itu pernah ‘bertarung’ dengan diri sendiri kerana beranggapan kehilangan berat badan akan menjadikannya tidak cantik dan tidak cukup disiplin.
“Saya memang selalu fikir ada sesuatu yang tidak kena dengan badan saya, bentuknya atau beratnya, tetapi saya tidak pernah dapatkan bantuan daripada sesiapa.
“Saya anggap itu pertempuran peribadi dan saya perlu bersenam tetapi orang lain tidak perlu jadi seperti saya,” katanya.
Bergelut dengan isu badan memberi tekanan kepadanya dan menyebabkan dia diserang strok haba dalam satu kejohanan di Belgium sehingga tidak sedarkan diri pada 2015.
Dua minggu selepas itu, dia mengalami penurunan berat badan yang teruk dalam Terbuka Britain di London dan itulah kali terakhir dia cuba bertanding bagi kategori 63 kilogram (kg).











