LONDON: Kemenangan ke atas Arsenal esok membolehkan Manchester City merampas takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun Gunners memiliki kelebihan satu perlawanan.
Pertahanan City, Rodri menggesa rakan-rakan sepasukan membawa mentaliti juara apabila bertandang ke Emirates dan meninggalkan masalah luar padang kepada pihak pengurusan.
“Sejujurnya, kami tidak terlalu memikirkan perkara ini (masalah luaran). Kami juga tidak peduli sama ada disukai atau dibenci.
“Liga masih panjang, berbaki 16 perlawanan, apa sahaja boleh berlaku, jadi bila berpeluang merampas takhta, ia harus dimanfaatkan,” kata pemain Sepanyol itu.
City kini berdepan 115 pertuduhan atas dakwaan melanggar peraturan kewangan yang boleh menyebabkan mereka disingkir dari Liga Perdana.

Pengendali pasukan, Pep Guardiola bagaimanapun mengingatkan pemain agar tidak ambil pusing isu luar padang.
Dia juga sudah memikirkan strategi tanpa Erling Haaland yang cedera paha ketika menentang Aston Villa, Ahad lalu.
Guardiola mungkin menggunakan formasi 3-2-4-1, di mana Julian Alvarez mengetuai serangan dan dibantu Riyad Mahrez, Kevin De Bruyne, Ilkay Gundogan serta Jack Grealish.
VAR HANTUI ARSENAL
Sementara itu, Arsenal yang hanya mengatasi City dengan tiga mata mahu bangkit selepas kalah dan seri dalam dua aksi terakhir liga.
Pertembungan itu juga peluang buat anak-anak buah Mikel Arteta membalas dendam selepas disingkirkan City dalam Piala FA, bulan lalu.
“Kami dinafikan kemenangan ketika menentang Brentford tapi kami perlu melupakan kekecewaan itu dengan segera bangkit menentang City,” kata Arteta.

Selepas kalah 1-0 kepada Everton pada 4 Februari lalu, Arsenal menjadi mangsa video bantuan pengadil (VAR) ketika diikat 1-1 oleh Brentford, Sabtu lalu.
Dalam aksi di Selhurst, pegawai yang menyelia sistem pengadilan EPL mengakui, gol penyamaan Brentford tidak diperiksa dengan betul sama ada ofsaid atau tidak. – AGENSI