Azizulhasni raih perak di Jakarta

Azizulhasni raih perak di Jakarta

AZIZULHASNI meraih perak dalam acara keirin Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), di Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Azizulhasni Awang menerima tepukan gemuruh daripada penonton di Jakarta sebelum kalah tipis kepada pelumba Belanda, Harrie Lavreysen dalam saingan keirin Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sebentar tadi.

Pelumba berusia 35 tahun itu mencatat kepantasan 10.263 saat (s), hanya ketinggalan 0.024s ditinggalkan Lavreysen.

Tempat ketiga dimenangi pelumba Israel, Mikael Yakovlev dengan catatan masa 10.423s.

Lebih membanggakan, ini pingat sulung buat prospek emas Malaysia dalam Sukan Olimpik 2024 itu sepanjang penampilannya pada Piala Negara-Negara, apatah lagi selepas membuat kemunculan semula setelah berehat panjang akibat pembedahan jantung tahun lalu.

Kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik itu turut dibarisi seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom di pusingan akhir biarpun terpaksa berpuas hati di kedudukan keenam.

Wakil kedua Malaysia itu gagal menamatkan saingan di lap terakhir ekoran terjatuh dengan pelumba New Zealand, Sam Dakin.

Dalam masa sama, acara keirin wanita yang turut diwakili pelumba negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi pula gagal melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik, menyaksikan mereka terpaksa menamatkan perjuangan seawal pagi tadi.

Bagaimanapun semalam, pasukan berbasikal trek wanita negara berhasil memecah rekod kebangsaan bagi acara pecut berpasukan wanita pada pusingan kelayakan, menerusi trio Nurul Aliana Syafika Azizan, Izzah Izzati dan Anis Amira dengan catatan masa baharu, 50.388s.

Mereka memecahkan rekod mereka sendiri sebelum ini, 50.599s yang dicipta pada Kejohanan Asia 2022 di New Delhi, India namun gagal melayakkan diri ke pusingan pertama selepas hanya menduduki tempat ke-12 daripada 15 pasukan.

Sementara itu, skuad lelaki juga gagal melepasi pusingan kelayakan selepas trio yang dibarisi Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Ridwan Sahrom hanya mencatatkan kelajuan 45.436s, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-15 daripada 21 negara bertanding. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya